TONGGAK hadapan Jepun, Keisuke Honda mengawal bola sewaktu menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Ivory Coast di Recife semalam. - AFP
RECIFE - Pemain-pemain Jepun yang hebat dari segi teknik akan cuba untuk mengakali kekuatan Ivory Coast ketika pertemuan kuasa besar Asia dan Afrika itu pada perlawanan Kumpulan C Piala Dunia esok.
Skuad The Blue Samurai telah mengukuhkan diri mereka selaku gergasi Asia kerana mempunyai pemain-pemain tengah yang hebat dari segi teknikal manakala kelebihan Ivory Coast terletak kepada pemain seperti Pemain Terbaik Afrika, Yaya Toure serta pertahanan Serge Aurier.
Tidak kira apa jua kelebihan dua pasukan tersebut namun kemenangan hanya mampu diraih oleh pasukan yang berupaya memanfaatkan kekuatan dimiliki bagi membina peluang untuk berada di landasan layak ke pusingan kedua.
Jurulatih Ivory Coast, Sabri Lamouchi turut berharap pasukannya mampu menunjukkan peningkatan yang baik dalam Piala Dunia kali ini.
Malah Lamouchi juga sedar pasukannya yang bakal dibarisi penyerang veteran, Didier Drogba perlu mendapatkan keputusan positif dalam aksi pertama itu.
"Impian kami adalah untuk melangkah ke satu fasa baharu iaitu sesuatu yang Ivory Coast tidak pernah capai sebelum ini.
"Dua tahun lalu saya telah membawa idea, kaedah dan saya berani memberikan jaminan bahawa kami telah bekerja keras untuk Piala Dunia ini.
"Dalam masa sama juga kami telah membawa pemain muda kerana kami juga mahu membuat persediaan untuk masa hadapan.
"Kini kami telah mempunyai beberapa pemain terkemuka dunia seperti Drogba, Yaya Toure dan Gervinho namun generasi ini masih belum mencapai apa-apa kemenangan sehingga memaksa kami mencari penyelesaiannya," kata Lamouchi.
Pada 2006 dan 2010 Ivory Coast telah membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang tidak boleh dipandang remeh kerana tidak langsung memberikan jalan mudah kepada lawan seperti Argentina, Belanda, Brazil dan Portugal.
Sementara itu, juara Asia, Jepun dijangka akan memanfaatkan pemain Manchester United, Shinji Kagawa dan pemain AC Milan, Keisuke Honda bagi mengehadkan pergerakan Drogba dan Wilfried Bony.
Jurulatih Jepun, Alberto Zaccheroni dari Itali berharap mental kesemua pemainnya telah bersedia untuk menghadapi saingan penuh kompetitif tersebut.
"Saya mahu semua pemain bersedia dari mental untuk menghadapi perlawanan ini. Kami juga perlu memastikan pemain tidak terlalu gementar ketika berada di padang dan dalam masa sama tidak boleh terlalu tenang.
"Kami mempunyai skuad yang kebanyakannya terdiri daripada pemain berusia sekitar 27 tahun dan ini adalah pasukan yang seimbang untuk Piala Dunia," kata Zaccheroni. - AFP
No comments:
Post a Comment