Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 5 June 2014

WORLD CUP 2014 - 'Brazil tak cukup bagus'



Neymar (kiri) cuba melepasi asakan pemain Panama, Armando Cooper dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia di Goiania, Brazil semalam. - REUTERS
GOIANIA, Brazil - Brazil mempamer persembahan mengagumkan pada babak kedua sewaktu membelasah Panama 4-0 semalam, namun pengendali mereka, Luis Felipe Scolari menegaskan, masih banyak yang perlu diperbaiki anak-anak buahnya menje­lang aksi pembukaan Piala Dunia pada 12 Jun ini.

Brazil tampak terpaksa bekerja keras di awal permainan dalam aksi pemanas badan kedua terakhir sebelum jaringan Neymar pada minit ke-27 dan gol kedua menerusi Dany Alves, 13 minit kemudian meletakkan tuan rumah Piala Dunia itu mendahului 2-0.

Hulk tidak mengambil masa lama untuk menyumbat gol ketiga hanya seminit selepas babak kedua bersambung dan pemain gantian, Willian turut meletakkan dirinya dalam senarai penjaring untuk meledak gol keempat.

“Kami masih ada masa seminggu setengah lagi (menjelang aksi pembukaan Piala Dunia).

“Masih ada perkara yang perlu diperbaiki, namun semua kena bertenang kerana kami sudah semakin hampir (membentuk pasukan terbaik).

“Hari ini pasukan menunjukkan respons yang bagus, namun saya menuntut aksi yang lebih baik daripada ini.

“Jika saya perlu memilih antara dua babak permainan, saya akan pilih separuh masa kedua yang mana kami berjaya mempamer lebih banyak gerakan, penguasaan bola yang lebih baik dan lebih tangkas," kata Scolari.

Scolari turut memuji Neymar yang disifatkannya telah beraksi cemerlang.

Selain menjaringkan gol pertama perlawanan, penyerang Barcelona berusia 22 tahun itu turut mempunyai dua peluang terbaik untuk menambah gol dan muncul pemain paling menonjol dalam skuad Brazil.

“Neymar merupakan seorang pemain yang selalu memberikan sesuatu yang berbeza dalam permainannya setiap hari.

“Dia telah meningkat dengan baik. Dia amat pantas, lincah dan mana-mana jurulatih pun akan memujinya," jelas Scolari.

Neymar ditimpa kecederaan dua kali musim ini pada penampilan pertamanya di pentas Eropah, dan Scolari berkata, beliau akan menurunkan pemain itu pada perlawanan persahabatan menentang Serbia, esok bagi memastikan prestasinya berada di tahap terbaik.

Pemain Panama mengerumuni Neymar sebaik saja wisel perlawanan berakhir bagi mendapatkan tandatangannya, dan Scolari turut mengingatkan bintang muda itu agar tidak terbabit dalam sebarang insiden di atas padang.

Brazil akan memulakan kempen Kumpulan A dengan menentang Croatia.

Juara lima kali itu turut diletak dalam satu kumpulan bersama Mexico dan Ca­meroon. - REUTERS



No comments: