Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 10 June 2014

Saman yang bukan luar biasa







Oleh Salleh Buang









PADA 3 Jun lalu, firma guaman Hafarizan Wan & Aisha Mubarak bertindak bagi anak guam mereka (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh) menyerahkan satu writ saman ke portal Malaysiakini di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur.

Writ serta pernyataan tuntutan yang diserahkan firma guaman itu menamakan 3 defendan - Mkini Dotcom Sdn. Bhd. (penerbit portal berkenaan), Steven Gan (Ketua Pengarang Kumpulan) dan Fathi Aris Omar (Ketua Pengarang).

Penyampaian writ saman serta pernyataan tuntutan ini adalah langkah pertama kes tuntutan fitnah oleh kedua-dua plaintif terhadap ketiga-tiga defendan. Asas tuntutan ini adalah fitnah yang disiarkan portal Malaysiakini pada 14 Mei 2014, terkandung dalam dua artikel (kompilasi komen pembaca portal dalam bahasa Inggeris) yang dimuatkan dalam ruangan Yoursay bertajuk A case of the PM reaping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu?

Kita dimaklumkan bahawa pengurusan kes itu ditetapkan pada 18 Jun di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah. Ramai meramalkan paling awal kes ini didengar adalah pada hujung tahun ini dan mungkin berterusan hingga tahun depan.

Notis tuntutan

Kira-kira dua minggu sebelum itu, pada 15 Mei, firma guaman berkenaan menghantar notis tuntutannya kepada Malaysiakini, meminta portal itu memohon maaf tanpa bersyarat dalam tempoh 48 jam kepada anak guamnya berhubung pernyataan fitnah tersebut. Selain itu, portal itu dikehendaki menarik balik artikel tersebut dan memberi akujanjinya tidak akan mengulangi fitnah itu di masa depan.

Notis tuntutan itu menyatakan jika defendan gagal memberi maklum balas dalam tempoh ditetapkan, tindakan guaman akan diteruskan terhadap portal itu, termasuk memohon injunksi menghalang penerbitan yang sama. Mengikut peguam plaintif, Datuk Muhd Hafarizam Harun, kenyataan yang terkandung dalam artikel yang disiarkan pada 14 Mei itu "adalah tidak berasas sama sekali, tanpa sebarang bukti yang kukuh" serta didorong oleh "mala fide untuk memburukkan dan merosakkan reputasi" anakguamnya.

Artikel itu juga menjejaskan kredibiliti mereka "selaku tulang belakang kerajaan BN yang mentadbir Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik".

Dalam reaksi spontannya terhadap notis tuntutan itu, Steven Gan (defendan kedua) menyatakan dia sudah menjangka Malaysiakini akan menghadapi tuntutan sivil ini selepas portal itu "diserang oleh Utusan Malaysia" ekoran penyiaran komen pembaca Malaysiakini dalam ruangan "Yoursay" itu.

Katanya lagi, portal Malaysiakini sentiasa memberi peluang kepada Najib untuk menjawab dan menyampaikan pandangannya kepada pembaca portal berita itu bagi menjelaskan mengapa beliau fikir pandangan terhadapnya dan UMNO "adalah salah". Katanya, itu adalah lebih baik dari mengancam organisasi media dengan prosiding fitnah.

Dalam jawapannya kepada notis tuntutan itu, Malaysiakini menyatakan apa yang disiarkan dalam artikel itu adalah "fair comment" (komen saksama) yang dibuat untuk kepentingan awam. Malaysiakini turut menyatakan enggan menarik balik artikel berkenaan, sebaliknya menawarkan plaintif peluang untuk menjawab fitnah berkenaan dalam portal Malaysiakini.

Pada 16 Mei, Malaysiakini menerbitkan satu artikel lagi bertajuk Najib Threatens To Sue Mkini Over Reader's Comments, dan ini disusuli dengan kompilasi komen pembaca dalam satu lagi artikel bertajuk Najib's Legal Action Aims To Silence Malaysiakini, diterbitkan pada hari berikutnya.

Pada 28 Mei, plaintif memaklumkan defendan bahawa ia menolak tawaran defendan itu atas alasan defendan tidak menyangkal sama sekali dakwaan kosong yang tidak berasas dan kata-kata fitnah yang diterbitkan itu.

Dalam pernyataan tuntutannya terhadap defendan, plaintif menyatakan bahawa defendan tahu dan sedar bahawa dengan mengizinkan kedua-dua artikel diterbitkan, ia melakukan fitnah dalam bentuk penerbitan semula. Kata-kata fitnah yang terkandung dalam artikel itu memberi makna bahawa UMNO tidak kompeten sebagai sebuah parti politik dan tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak mempunyai integriti, bersifat perkauman, tidak bermoral dan sengaja mengaburi rakyat bagi menutup konspirasi jahat.

Selain itu, kata-kata fitnah itu juga memberi makna bahawa plaintif pertama tidak layak menjadi seorang ahli politik, Presiden UMNO dan Perdana Menteri, tidak berintegriti, bersifat perkauman, tidak bermoral dan tidak boleh dipercayai ketulusannya.

Plaintif juga mendakwa bahawa kata-kata fitnah yang disiarkan dalam artikel itu merupakan komen yang dibuat tanpa asas kukuh, sebaliknya merupakan tuduhan melulu yang berniat jahat. Plaintif menuntut ganti rugi am, gantirugi khas/ teruk serta injunksi bagi menghalang terus menerbitkan artikel itu dan permohonan maaf secara bertulis diterbitkan di media cetak.

"Jumpa anda di mahkamah"

Walaupun menyedari kini ia berdepan dengan satu tindakan guaman, portal itu seperti biasa meneruskan serangannya terhadap plaintif pertama.

Dalam kenyataannya bertarikh 5 Jun 2014, bertajuk See you in court, Mr. Prime

Minister, defendan menyatakan walaupun Perdana Menteri dipelawa untuk menyatakan versinya dan menjawab segala tohmah yang terhadapnya, beliau memilih untuk bertarung di arena perundangan. Portal itu selanjutnya menyatakan "Najib fails to understand that he, his party, his coalition, his administration and all his politicians and top civil servants suffer from a credibility gap." (sila http://www.malaysiakini.com/news/264752)

Terus pertikai tindakan undang-undang

Malaysiakini terus menerus menyiarkan pendapat pembacanya yang antara lain, bertanya apakah Perdana Menteri tak ada kerja lain selain menyaman portal ini? (sila lihat artikel bertajuk PM's lawsuit only shows pettiness and insecurity bertarikh 5 Jun 2014.

Portal ini juga menyiarkan pendapat Naib Presiden PKR N Surendran, yang menyerang Najib kerana memfailkan tuntutan fitnahnya terhadap Malaysiakini, yang disifatkan olehnya sebagai tindakan mengekang kebebasan bersuara.

Kata Surendran lagi, Perdana Menteri Malaysia tidak sepatutnya mencontohi tindakan Perdana Menteri Singapura ("Don't ape Singapore in shutting media, Najib told", bertarikh 5 Jun 2014) Katanya, rakyat Malaysia memerlukan suara alternatif dan padanya Malaysiakini merupakan suara alternatif itu kerana ia memberi peluang kepada kedua-dua pihak jurang politik negara meluahkan pendapatnya.

Dalam bahasa mudah, Malaysiakini sudah memulakan perbicaraan kes ini di dunia maya dan mengemukakan "pembelaannya" untuk diadili oleh pembaca (penyokong portalnya).

Tidak ada yang luar biasa

Pada hemat saya, berlandaskan kajian dan penulisan saya mengenai undang-undang fitnah di negara ini dan di negara luar lebih 3 dekad, tidak ada yang luar biasa dalam kes fitnah yang difailkan oleh dua plaintif ini.

Ia adalah satu kes biasa di mana plaintif telah difitnah oleh defendan kerana dalam portal defendan itu ada disiarkan kenyataan yang memfitnah plaintif. Kenyataan itu tidak semestinya dibuat oleh pengendali/pemilik portal itu sendiri; memadai jika ia di buat oleh pihak lain, yang disiarkan semula oleh portal itu.

Defendan dalam kes yang kita bincang ini adalah sebuah portal yang bukan hanya menyiarkan berita, tetapi juga pandangan orang ramai. Sekiranya kenyataan pembacanya yang disiarkan dalam portal itu mengandungi fitnah, pengendali portal juga melakukan fitnah sebagai "penyiar semula" bahan yang mengandungi fitnah itu.

Pengendali atau pemilik portal yang menyiarkan pendapat pembacanya yang mengandungi fitnah itu tidak boleh berselindung hanya dengan wujudnya satu notis disclaimer dalam muka depan portalnya.

Sebagaimana tidak ada luar biasanya liabiliti seorang pengendali atau pemilik portal sebagai "penyiar semula" fitnah yang pada asalnya diucapkan oleh pihak lain, begitu juga tidak ada luar biasanya pembelaan komen saksama yang dibangkitkan oleh defendan dalam kes ini semasa menjawab notis tuntutan plaintif kepadanya. Undang-undang sudah jelas tentang apa yang diterima sebagai komen saksama.

Semuanya ini adalah isu perundangan biasa yang berzaman diputuskan mahkamah kita. Mengenai kenyataan Surendran bahawa dalam tindakannya terhadap defendan, plaintif pertama bertindak selaku Perdana Menteri Singapura - itu adalah pendapat peribadinya sendiri. Terlalu awal bagi kita membuat kesimpulan itu sekarang.

* PENULIS ialah Penganalisis Undang-undang

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140610/re_01/Saman-yang-bukan-luar-biasa#ixzz34Bw07WNj  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: