Oleh Dr. Siva
PADA 1 Jun lalu, genap 40 tahun parti Barisan Nasional (BN) didaftar sebagai parti yang berfungsi secara sah. Barangkali tersentak dengan kemenangan di Teluk Intan, lantas terabai kewujudan hari bersejarah ini.
Pembentukan parti BN bermula selepas peristiwa 13 Mei 1969 apabila Tun Abdul Razak Hussein selaku Pengerusi Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan kemudiannya Perdana Menteri Malaysia yang kedua merasakan perlunya sebuah entiti yang menggambarkan formula politik baru dengan ciptaan parameter dengan diselaputi oleh perpaduan sebagai asasnya.
Pertemuan di antara Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Muhammad Ghazali Shafie dan Khalil Akasah sebagai Setiausaha di Cameron Highlands untuk membangunkan struktur baru tadbir-urus menunjukkan bahawa 40 tahun lalu, 'orde baru' sudah diilhamkan menggantikan 'orde lama' yang disesuaikan dengan keperluan demografi dan geografi semasa.
Tun Abdul Razak menggunakan perkataan Barisan Nasional buat pertama kalinya di dalam ucapan Hari Kebangsaan 1972.
Pada Mac 1973, beliau sekali lagi menyatakan bahawa dengan pembentukan BN, gaya politik lama akan berakhir dan berharap BN akan dapat diperkukuhkan.
Sepanjang tiga bulan pertama 1974, Tun Abdul Razak mengadakan pelbagai perbincangan dengan pemimpin Parti Perikatan untuk menghasilkan strategi sama dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum 1974.
Pada April 1974, diumumkan penggunaan simbol dacing untuk parti BN. Simbol kapal layar parti Perikatan tidak digunakan lagi serta simbol parti masing-masing juga tidak dibenarkan.
Pada Mei 1974, satu perhimpunan raksasa diadakan di Kedah di mana diumumkan sudah diwujudkan satu jawatankuasa untuk meneliti pemilihan calon PRU 1974. BN hanya berfungsi sepenuhnya selepas PRU Ogos 1974 dan Majlis Tertinggi BN mengadakan pertemuan buat pertama kalinya pada 6 November 1974.
Tanpa disedari, 1 Jun 1974 BN menerima akuan sah pendaftarannya dengan 9 komponen parti politik yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC, Pas, PPP, Gerakan, SUPP, PBB dan Sabah Alliance Party (SAP).
Sepanjang 40 tahun penubuhannya, dengan melalui 10 PRU di bawah simbol dacing (1974-2013); apakah pencapaian dan cabaran yang telah dan akan dilaluinya?
BN belum pernah tewas sepanjang PRU diadakan dan hanya kehilangan majoriti dua pertiga dalam PRU 2008 dan 2013. Sebelumnya, ia gah sebagai parti yang sentiasa ke hadapan.
Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, BN masih mengemudi negara berasaskan kepada formula yang sudah dipersetujui sekian lama. Ada kekuatan, kelemahan, pencapaian dan kemerosotannya tetapi ia masih bertapak dengan apa yang sudah menjadi amalan.
Namun, selepas ketiadaan majoriti dua pertiga, kerajaan dan parti politik pemerintah bergelut dengan cabaran persepsi. Kedudukan BN pasca keputusan PRU 2008 banyak mempengaruhi persekitaran hari ini. Ini termasuk persoalan membuat keputusan dengan keputusan yang membawa kepada kecelaruan sokongan. Ia tidak datang dari kepimpinan tetapi dari mereka yang memegang autoriti.
BN perlu mengasah kepimpinan terutama dalam amalan tawar menawar, kompromi, persetujuan di belakang tabir dan pada waktu yang sama berhadapan dengan rasa duka sesetengah pihak yang menjadi musuh dalam selimut, berwajah dua, bertopeng mengikut musim.
BN harus mempunyai karakter dark horse, favourite dan wild card tanpa memberi pilihan kepada lawannya. Saya pernah menulis sebelum PRU Ke-13 beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh BN.
Ini termasuklah melalui proses reformasi dengan pembaharuan menyeluruh; bebas dari kumpulan serpihan; jentera mantap; memenuhi manifesto; memiliki kekuatan sendiri dan bukan bergantung kepada kelemahan lawan; latihan kepimpinan; koordinasi dengan badan bukan kerajaan dan integrasi dengan pengundi muda.
Apakah wajar BN masih dengan idealisme sama atau memerlukan formula baru berteraskan kepada pencapaian kini? BN memerlukan pelan induk yang boleh dinamakan sebagai 'Aspirasi Malaysia'. Ia bertujuan untuk terus membentuk kerajaan dalam berhadapan dengan PRU akan datang. Satu, strateginya mesti berpusat kepada tanggungjawab kesemua parti komponen BN dan bergerak sebagai BN dan bukan semata-mata parti masing-masing.
Dua, penjenamaan dengan gaya kepimpinan yang memberi aspirasi kepada masyarakat walau berhadapan dengan penipuan, kritikan dan pembohongan dari penyelewengan maklumat. Kepimpinan mendasari pencapaian BN selama ini dan ini memerlukan pemasaran dan penjenamaan walau perlu mengambil keputusan tidak popular mahupun popular.
Ini kerana BN masih bergantung kepada skil kepimpinan individu apatah lagi personaliti/ikon menjadi pelengkap kepada kedudukan parti.
Tiga, kerjasama parti BN di peringkat nasional, negeri, bahagian dan cawangan (termasuk Pusat Daerah Mengundi) yang perlu diperhebatkan dengan program merentasi parti. Kekuatan setiap parti boleh menjadi perkongsian dan kelemahan diperbaiki sebelum berhadapan dengan PRU.
Empat, kesinambungan kepimpinan perlu dirungkai sepenuhnya oleh BN supaya tidak terus dilabel sebagai parti lama. Kepimpinan bergenerasi bermaksud BN perlu menampilkan lebih ramai pemimpin muda, berwibawa dan dilihat ikon oleh generasi pelapis.
Perlu ada pemimpin muda digandingkan dengan pemimpin berpengalaman supaya kredibiliti di semua peringkat menyerlah; ikon perlu dicipta dan dipasarkan.
Lima, bagaimanakah BN akan cuba memenangi kawasan yang gagal dipertahankan, kerusi yang dimenangi dengan undi tipis, pertahankan kerusi yang dimenangi dan kerusi yang baru dimenangi dan kerusi marginal.
Ini bermakna, ada kawasan putih, hitam dan kelabu di samping kerusi yang dimenangi semula selepas kecundang di PRU Ke-12 sebanyak 1w5 kerusi.
Sepatutnya dengan 137 yang dipertahankan ketika PRU Ke-13 dan 15 kerusi yang dimenangi semula, BN mampu untuk mendapatkan majoriti dua pertiga. Apa yang berlaku adalah kemenangan ini tidak diiringi dengan usaha pertahankan kesemua 137 kerusi sehingga akhirnya membawa kepada 133+1 (Teluk Intan).
Enam, penekanan perlu diberikan kepada kerusi bandar di samping pertahankan kerusi luar bandar. Menembusi kerusi bandar memerlukan strategi yang amat unik kerana demografi dan geografinya berbeza apatah proses urbanisasi semakin membesar saban hari. Media sosial tidak terkecuali. Ia merangkumi individu yang bukan sahaja lahir di situ tetapi juga ancaman migrasi turut mempengaruhi persekitarannya.
Tujuh, strategi khas di Sabah dan Sarawak. Barisan pembangkang membawa agenda Impian Sarawak dan Impian Sabah dan BN perlu akur bahawa sesuatu harus dilakukan jika mahu ia kekal sebagai safe deposit BN.
Lapan, konvensyen BN secara berkala penting untuk memaparkan semangat setiakawan dan ia boleh dilakukan bukan untuk hanya bersama parti komponen tetapi diterokai terma jaringan lain termasuk pertemuan dengan badan bukan kerajaan, kepimpinan pelajar dalam dan luar negara serta pihak dewan perniagaan kerana masing-masing adalah stakeholder sahabat BN.
Sembilan, mengenal pasti calon/ikon berwibawa dari awal yang diterima rakyat dan bukan parti semata-mata. Ia bertujuan agar kesilapan lalu tidak diulangi jika post-mortem PRU Ke-13 dibaca dan disemak sepenuhnya. Pakej calon mesti bersifat menyeluruh.
Sepuluh, strategi khas di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan di samping memantapkan kedudukan di negeri lain yang ditadbir oleh BN.
Kekal tidak bermakna untuk selamanya, tewas juga tidak bermakna tidak boleh dirampas semula tetapi keazaman menjadi petunjuk aras jika KPI masih digunapakai dan dinilai secara berterusan.
Dalam ketika berumur 40 tahun, ia selalunya membawa kepada alam baru kepada manusia. Bagi parti politik, kematangan akan terserlah jika muhasabah dilakukan dengan melihat kepada pencapaian dan kekurangan supaya boleh terus kekal kepentingan dan kerelevanan mengharungi masa depan alam politik yang kian berubah setiap masa.
Idealisme Perikatan kepada BN sebenarnya adalah untuk memastikan perpaduan, muhibbah dan keharmonian tidak dikompromi yang masih menjadi agenda utama formula 1957 dan 1974 tetapi penambahbaikan berterusan boleh dilakukan dengan mengadaptasi perubahan dengan senario semasa agar jurang pemahaman politik tidak merencat proses kedamaian yang dicari di Malaysia yang masih berada di bawah tadbir-urus BN. Apakah ketemu formula 2014?
* Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140610/re_05/40-tahun-BN---Pencarian-formula-baru#ixzz34C1g6VDt © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment