Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 10 June 2014

JOHOR - LPHJ: Tiada kuasa mutlak





Oleh HANIZA HASSAN, AZIZI MAJID dan NURUL HUDA HASSAN
pengarang@utusan.com.my





NUSAJAYA 9 Jun - Rang Undang-undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini tidak memberi kuasa mutlak kepada Sultan Johor, sebaliknya peranan baginda tertakluk atas nasihat Menteri Besar.

Ia diluluskan selepas pindaan dilakukan ke atas draf asal rang undang-undang tersebut yang mana kesemua peranan Raja yang disebut dalam lapan fasal digantikan dengan Pihak Berkuasa Negeri.

Antara pindaan itu membabitkan Fasal 4 (3) Keanggotaan Lembaga iaitu ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Raja, dipinda kepada ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Bagi Fasal 12 (2) Pelantikan Pengarah, Pegawai dan Pekhidmat iaitu pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja, dipinda kepada segala pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja atas nasihat Menteri Besar.

Fasal 43 (1) Penggulungan dan Pembubaran iaitu Raja boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta mengarahkan supaya lembaga digulung dan dibubarkan, dipinda kepada Pihak Berkuasa Negeri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam warta mengarahkan supaya lembaga digulung dan dibubarkan.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi pukul 2.30 petang sebelum diluluskan oleh Dewan selepas perbahasan selama tiga jam.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan reaksi pelbagai pihak berhubung pembentangan rang undang-undang yang dilihat memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Malah, ada beberapa pihak menggesa kerajaan negeri supaya tidak meluluskan rang undang-undang tersebut serta mendesak pembentangan tersebut ditangguhkan kerana ia boleh mendedahkan institusi beraja kepada kritikan.

Abdul Latiff ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata penyediaan enakmen berkenaan bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi lebih kepada membantu memperkukuh sektor perumahan dan hartanah di Johor.

Beliau berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor yang ditubuhkan mempunyai beberapa fungsi merangkumi penyediaan dasar, pelaksanaan, penyelarasan serta perancangan pembangunan sektor perumahan dan hartanah negeri ini.

"Ini seterusnya akan memberi kemudahan kepada rakyat, pihak-pihak berkepentingan seperti pemaju dan perunding dalam menjalankan urusan berkaitan sektor perumahan dan hartanah di negeri Johor," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140610/dn_02/LPHJ-Tiada-kuasa-mutlak#ixzz34BrkiR9v  © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: