Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 11 September 2014

POLITIK : Ustaz Mat Razi calon BN PRK Pengkalan Kubor


Muhyiddin Yassin bersama Mustapa Mohamed (dua dari kanan), Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) dan Rosdi Abdul Aziz (kiri) menjulang tangan Mat Razi Mat Ail (tengah) selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri

TUMPAT 10 Sept. - Penolong Pegawai Pendidikan Tumpat yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian, Mat Razi Mat Ail diumumkan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN bagi PRK Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, Mat Razi menepati kriteria calon ditetapkan kerana selain mempunyai latar belakang pendidikan dan profesionalisme yang hebat, beliau juga seorang tokoh agama yang dihormati termasuk menjadi pengasas kepada sebuah sekolah pondok.

''Beliau ada kelulusan akademik, pengalaman bekerja, aktif memberi khidmat bakti kepada masyarakat, menjadi ustaz, imam dan mengasaskan sekolah pondok, jadi boleh dikatakan lengkap semuanya.

''Untuk Pengkalan Kubor ini, beliau calon yang paling sesuai dan saya minta pengundi di kawasan ini memberi sokongan kepada beliau sebagaimana sokongan kepada Allahyarham Datuk Noor Zahidi,'' katanya dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut.

Yang turut hadir isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman; Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Abdul Aziz.

Dalam pada itu, beliau menggesa jentera BN bekerja keras dan tidak mengambil ringan PRK tersebut pada 25 September ini walaupun mempunyai kelebihan berikutan pelbagai isu yang melanda pakatan pembangkang ketika ini.

Tegasnya, BN turun sebagai 'underdog' kerana berhadapan dengan cabaran yang lebih besar kerana negeri ini dipimpin oleh Pas.

"Sebagaimana saya ingatkan kepada jentera, baik pilihan raya umum atau kecil, tiada yang mudah, kita akan berhadapan dengan cabaran yang hebat tidak kira siapa lawan yang akan bertanding. Jangan anggap mudah.

"Kita kena turun seberapa banyak mungkin ke akar umbi. Saya difahamkan ada lebih 7,000 buah rumah, kalau jentera kita dapat bertemu dengan setiap pengundi adalah lebih baik," katanya.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Noor Zahidi Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akibat kanser pada 20 Ogos lalu.

Muhyiddin kemudiannya mengumumkan Mustapa sebagai Pengarah Jentera PRK DUN Pengkalan Kubor.

"Datuk Pa (Mustapa) Pengarah PRK DUN Pengkalan Kubor. Semua askar harus taat dan setia kepada Jeneral Datuk Pa, tidak boleh ingkar, kita harus mengatur gerak kerja secara teratur dan terancang," katanya.

Sementara itu, Mat Razi berkata, beliau terkejut kerana dimaklumkan mengenai perkara itu di saat-saat akhir namun berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana menaruh kepercayaan dan memilihnya.

Katanya, untuk memastikan legasi kecemerlangan BN yang ditinggalkan penyandang bagi kerusi itu, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar dapat dipertahankan, beliau amat memerlukan sokongan semua pihak.

''Siapalah saya kalau tidak tuan-tuan, tuan-tuan adalah saya dan saya adalah tuan-tuan, bantulah saya dan berilah kerjasama bagi memastikan kemenangan BN,'' katanya.

Mat Razi, 49, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Razi dilahirkan di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor pada 19 November 1965.

Bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Khairos Husin itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sejarah dan Persuratan Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mat Razi mula bergiat dalam politik sejak 1990 dan sepanjang tempoh itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan seperti Setiausaha UMNO cawangan Simpangan, AJK Pemuda UMNO Bahagian serta AJK UMNO Bahagian.

Selain terlibat dalam dunia politik, Mat Razi yang pernah menimba ilmu di sekolah pondok juga merupakan bekas guru al-Quran, qari, AJK dan imam sambilan di Masjid Simpangan sejak 2003 dan aktif menguruskan jemaah yang ingin mengerjakan umrah sejak dua tahun lalu.

Beliau juga adalah pengasas kepada Pondok Simpangan, Tumpat di atas tanah wakafnya sendiri di Kampung Simpangan yang memberi pendidikan agama percuma kepada para pelajar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140911/po_02/Ustaz-Mat-Razi-calon-BN-PRK-Pengkalan-Kubor#ixzz3CyCLx5rc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: