PAULO Rangel (empat dari kanan) diasak oleh pemain-pemain PDRM dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban malam tadi, yang berkesudahan seri 1-1. - BERNAMA
KUALA LUMPUR - Terengganu gagal memanfaatkan peluang di gelanggang sendiri untuk mengesahkan laluan ke suku akhir Piala Malaysia apabila sekadar seri 2-2 dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi, sekali gus membuatkan persaingan dalam Kumpulan B masih terbuka hingga ke perlawanan terakhir minggu depan.
Skuad Penyu memecahkan kebuntuan pada minit ke-35 hasil jaringan memukau Mohd. Ashari Shamsuddin dari luar kotak penalti yang terkena palang sebelum menerjah gawang pasukan pelawat.
Namun, keterujaan kira-kira 10,000 penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila dikejutkan dengan gol penyamaan Kedah oleh Baddrol Bakhtiar menerusi sepakan bebas pada minit-minit terakhir babak pertama.
Kerja keras pasukan pelawat untuk mendahului berhasil pada minit ke-68 apabila penyerang dari Korea Selatan, Namkung Woong memanfaatkan peluang hasil tendangan sudut yang diambil Baddrol.
Maruah tuan rumah berjaya diselamatkan oleh pemain gantian, Ismail Faruqi Ashaari yang menyepak masuk dari luar kotak penalti pada minit ke-78.
Sarawak pula terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia apabila gagal dalam misi mencari tiga mata selepas sekadar seri 1-1 dengan Perak di Stadium Negeri, Kuching.
Mohd. Hairol Mokhtar sebelum itu menghidupkan seketika peluang Ngap Sayot dengan gol pendahuluan pada minit ke-61 namun pemain import dari Brazil, Marco Tulio menyamakan kedudukan pada minit ke-77 bagi memastikan Perak terus kekal memimpin Kumpulan B.
Sementara itu, Sime Darby terus menghidupkan sisa-sisa peluang untuk ke suku akhir apabila menumpaskan T-Team 2-1 di Stadium MPS, Selayang.
Pemain dari Croatia, Mateo Roskam memastikan Sime Darby di hadapan pada minit ke-15 sebelum Dzulfahmi Abdul Hadi menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-28 dan jaringan saguhati T-Team disumbangkan Jimmy Mulisa pada minit ke-50.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban, PDRM berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Malaysia apabila mengikat Selangor 1-1 hasil jaringan Mohd. Alafi Mahmud, yang memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol lima minit sebelum waktu sebenar permainan tamat.
Selangor yang kelihatan bersemangat tinggi mendapatkan untuk kemenangan terlebih dahulu mendahului menerusi bintang lincah dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-13.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140831/su_03/Hajat-Penyu-Red-Giants-tertangguh#ixzz3C7waAbaD © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment