Skuad England sempat memberi pose di Lapangan Terbang Luton sebelum berlepas ke Brazil untuk menghadapi Piala Dunia. - REUTERS
LONDON - Daniel Sturridge bersiap sedia untuk berasa 'sakit hati' diketepikan daripada kesebelasan utama England pada Piala Dunia selepas mengakui kedudukannya sebagai penyerang utama belum terjamin.
Biarpun bintang Liverpool itu dilihat menjadi pilihan pengurus The Three Lions, Rod Hodgson untuk digandingkan dengan Wayne Rooney dalam aksi pembukaan Kumpulan D menentang Itali pada 14 Jun ini, Sturridge bimbang mungkin diketepikan daripada senarai awal.
Dia juga mengakui, kejayaan meledak gol menakjubkan ketika membantu England membenam Peru 3-0 di Wembley, Jumaat lalu bukan jaminan dia adalah pilihan utama Hodgson.
"Ada beberapa pemain yang berada dalam penilaian jurulatih untuk mengisi posisi serangan.
"Sudah tentu saya bekerja keras untuk mendapatkan tempat, namun saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan menjadi pilihan automatik untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
"Sebab itu saya akan terus berusaha memikat hati jurulatih dengan membuktikan apa yang mampu saya sumbangkan kepada pasukan.
"Soal pemilihan, saya serahkan semuanya kepada pengurus, tugas saya cuma bermain," kata Sturridge.
Penyerang berusia 24 tahun itu juga menegaskan, biarpun terdapat tekanan hebat kepada dia dan rakan-rakan sepasukan untuk mencari keputusan terbaik di Brazil, namun perkara itu tidak langsung menggusarkannya.
Tegasnya, semua pemain berlepas ke Brazil semalam bersama satu misi, cuba mencari keputusan yang baik, namun mereka terbawa-bawa dengan tekanan tambahan yang diberikan oleh peminat.
"Sejujurnya saya cuba untuk tidak memikirkan tentang perkara itu.
"Ia bukan soal pasukan atau diri saya semata-mata, ia juga tentang semua orang yang berada di belakang kami menyokong cabaran England.
"Saya rasa, ramai yang terdesak untuk melihat England mampu melakar keputusan terbaik kali ini, sudah tentu kami juga mahu perkara yang sama ada akan cuba fokus kepada mendapatkan sasaran itu," katanya lagi. - AGENSI
No comments:
Post a Comment