Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 12 June 2014

WORLD CUP 2014 - Brazil semakin terasa tekanan



Thiago Silva, Darijo Srna

TERESOPOLIS - Brazil semakin terdesak untuk menunjukkan sesuatu yang mencerminkan keyakinan mereka selaku tuan rumah menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Croatia, dalam usaha mereka meredakan tekanan yang semakin memuncak.

Jurulatih, Luiz Felipe Scolari amat bertuah kerana dapat mengekalkan pasukan sama yang menumbangkan juara dunia, Sepanyol 3-0 pada perlawanan akhir Piala Konfederasi, dengan bintang Barcelona, Neymar menjadi tumpuan dalam kesebelasan utama Brazil yang disifatkan sebagai sebuah pasukan yang mantap.

Juara dunia lima kali itu dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi cabaran peringkat kumpulan, tetapi pemain pertahanan Barcelona, Dani Alves mengakui perasaan bimbang semakin menyelubungi pasukannya menjelang aksi pembukaan di Sao Paulo, dan amat berharap mereka dapat membuang perasaan gementar itu.

"Pungutan tiga mata penuh amat penting, kerana secara tidak langsung turut memberi mesej kepada lawan. Perlawanan yang paling penting dalam Piala Dunia untuk semua pasukan ialah aksi pembukaan.

"Pada aksi Khamis ini (4 pagi Jumaat waktu Malaysia) kita akan tahu jawapannya, sama ada semuanya berjalan dengan lancar atau pun tidak. Kami akan cuba mempamerkan imej yang baik," kata Alves.

Hanya satu persoalan timbul buat Brazil menjelang perlawanan yang akan berlangsung di Corinthians Arena, iaitu sama ada dua bintang Chelsea, Oscar dan Willian akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

Namun, Scolari yang membimbing Brazil menjulang trofi Piala Dunia pada 2002, nampaknya lebih berminat menggunakan kesebelasan yang sama ketika Brazil menewaskan Serbia 1-0 pada perlawanan persahabatan minggu lalu menerusi jaringan Fred.

Sementara itu, tonggak pasukan Croatia, Luka Modric berkata kebanyakan pemain pasukannya telah menunjukkan peningkatan secara individu sejak Kejohanan Eropah 2012.

"Kebanyakan pemain kami sudah meningkat prestasi mereka secara individu secara mendadak sejak Kejohanan Eropah 2012 namun tidak secara berpasukan.

"Mereka (Brazil) ialah sebuah pasukan yang gagah dengan kehadiran pemain yang hebat seperti Marcelo, Thiago Silva dan Neymar.

"Oleh itu kami perlu bergerak sebagai sebuah kumpulan, tiada sesiapa yang akan berjaya sebagai individu. Pergelutan akan berlaku di tengah padang dan kami akan kalah sekiranya tidak berusaha untuk merebut bola dengan baik," katanya.

Croatia mengejutkan dunia apabila melangkah ke separuh akhir pada 1998 selepas pertama kali menyertainya apabila menewaskan Jerman 3-0.

Namun mereka gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam edisi 2002 dan 2006 diikuti kegagalan dalam Euro 2012.

Pemain Croatia kelahiran Brazil, Eduardo da Silva berkata, nasib pasukan mereka boleh dipengaruhi oleh perlawanan menentang tuan rumah.

"Brazil merupakan pasukan pilihan, jadi untuk menewaskan mereka merupakan tugas yang sukar namun semuanya bergantung kepada kami untuk mendapatkan kejayaan di peringkat kumpulan.

"Keluarga saya akan memberi sokongan tetapi saya tidak tahu pasukan mana yang akan mereka sokong, namun paling penting ialah bermain dengan bagus," katanya.

Dua lagi lawan mereka dalam Kumpulan A ialah Cameroon dan Mexico. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140612/sl_02/Brazil-semakin-terasa-tekanan#ixzz34NkHRoCy  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: