PEMAIN Kelantan, Mohamed Shawky dari Mesir kelihatan begitu kecewa selepas gagal menyempurnakan peluang di depan pintu gol ketika pasukannya bertemu JDT di Kota Bharu malam tadi. Kelantan kalah 0-3.- UTUSAN/Lim Chu Lijue
KUALA LUMPUR - Perlawanan Piala Malaysia antara tuan rumah Kelantan dengan Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Mohamad ke-IV malam tadi nyaris membuatkan George Boateng menyerang pengadil setelah pasukannya tumpas 3-0 dalam Kumpulan C.
Boateng meluru ke padang apabila perlawanan tamat kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil Mohd. Zohril Tajudin melayangkan kad merah kepada Nik Shahrul Azim Ab. Halim pada minit ke-87.
Sebelum itu Kelantan telah pun ketinggalan tiga gol menerusi jaringan Pereyra Diaz pada minit ke-28, Jasazrin Jamaludin (minit 48) dan Luciano Figueroa (minit 47).
Bagaimanapun kedua-dua pasukan itu telah pun menempah awal tiket ke pusingan suku akhir dan masing-masing bakal bertemu sama ada Perak, Terengganu atau Kedah yang akan diketahui dalam aksi hari ini.
Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang mencatatkan kemenangan pertama mereka setelah menumpaskan ATM 2-1.
Walaupun ATM mendahului pada minit ke-37 menerusi Hairuddin Omar tuan rumah bangkit untuk menjaringkan dua gol menerusi Luiz Ricardo (minit 50) dan Lee Gil Hoon (minit 62).
Felda United pula menang selesa 3-1 ke atas Lions XII di Stadium MPS, Selayang bermakna mereka akan ke suku akhir untuk bertemu sama ada Sime Darby atau Selangor yang akan bermain malam ini.
Felda hanya memerlukan sembilan minit untuk mendahului menerusi Zah Rahan Krangar namun Faris Ramli menyamakan kedudukan pada minit ke-22.
Tetapi Indra Putra Mahayuddin dan Makache Ndumba mengukuhkan kedudukan tuan rumah apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-26 dan ke-29.
Dalam satu lagi perlawanan dalam Kumpulan A, Pahang sekadar berkongsi mata setelah seri 1-1 dengan JDT II di Stadium MPPG, Johor Bahru.
Selaku naib juara kumpulan, Pahang terpaksa bertemu juara Kumpulan D, PDRM pada suku akhir.
Nicolas Delmonte meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan menerusi jaringan penalti pada minit ke-13 setelah Jose Manuel Carrasco dijatuhkan dalam kotak penalti.
Kedua-dua pasukan kemudian beraksi dengan 10 pemain bermula pada minit ke-66 Carrasco menerima kad kuning kedua setelah mengkasari Matias Conti yang turut diperintah keluar padang kerana bertindak balas.
Pahang kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi rembatan jarak dekat Zeshan Rehman yang menerima hantaran hasil sepakan sudut dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140903/su_02/Boateng-hampir-serang-pengadil#ixzz3CDuSsfi6 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment