Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 17 June 2014

Politik bangsa Malaysia



BUKU Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa dalam Masyarakat Berbilang Etnik hasil karya Prof. Datuk Mohamed Mustafa Ishak yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.

Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan pada 1963 merupakan gagasan politik yang unik. Jika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1957 merupakan sebuah negara bangsa yang majmuk, maka Persekutuan Malaysia ternyata lebih daripada itu.

Penyertaan Sabah dan Sarawak pula menjadikan Malaysia lebih berdepan dengan cabaran landskap sosioagama, etnik, ekonomi dan politiknya.

Bagaimanapun, hakikat dan pendekatan ini dibayangi sikap cendekiawan yang melihat Malaysia sebagai Malaya bercirikan bangsa Melayu, Cina dan India. Jangkaan sosioekonomi dan politik yang telah mencapai 50 tahun penubuhan Malaysia mencetuskan dinamisme yang mencabar amalan lama, cara menghadapi cabaran dan kaedah menyelesaikan masalah secara berkesan.

Oleh yang demikian, sejak pertengahan 2000, keseimbangan dalam memelihara hubungan antara pelbagai etnik dan kepentingan melalui tuntutan terhadap penggunaan kaedah baharu membolehkan cabaran ini diteliti, diperdebatkan dan diselesaikan.

Pendekatan berorientasikan Tanah Melayu berasaskan konteks Melayu-Cina-India tidak lagi dominan memandangkan Sabah dan Sarawak mula mengambil peranan yang lebih penting dalam kedinamikan proses politik nasional.

Dalam konteks senario baharu inilah, buku Politics of Bangsa Malaysia: Nation-building in a Multiethnic Society (Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa dalam Masyarakat Berbilang Etnik) merupakan karya akademik dalam membicarakan kedinamikan politik baharu daripada pendekatan yang bersifat inklusif dengan pelbagai dimensi untuk memahami proses sosioekonomi dan politik.

Buku ini ditulis berdasarkan tesis kedoktoran penulis. Oleh yang demikian, tulisan ini berlandaskan pemikiran dan renungan mendalam data empirik yang dikumpul oleh penulis sendiri.

Sesungguhnya, tokoh politik yang penting dalam negara telah dirujuk dan ini menyumbang nilai tambah kepada analisis dan buah fikiran penulis.

Meskipun berdasarkan tulisan akademik, buku ini telah disemak dan dihasilkan dalam bentuk yang mudah difahami, tanpa jargon akademik yang banyak atau berat, dan tanpa paparan statistik kompleks.

Tentunya The Politics of Bangsa Malaysia merupakan buku yang “wajib dibaca" untuk mereka yang mempelajari bidang politik Malaysia.

Tulisan ini mengandungi sumber yang kaya dengan pelbagai teori terkemuka tentang pelbagai aspek pembinaan bangsa dengan ulasan yang cukup teliti dan kritis penulis.

Dalam bab pertama, teori-teori ini dibincangkan dalam konteks etnik dan nasionalisme untuk memahami proses pembinaan bangsa di Malaysia. Sebagaimana dibayangkan oleh penulis, proses pembinaan bangsa di Malaysia adalah tentang pengantaraan identiti.

Oleh sebab itu, persaingan antara identiti yang berlainan untuk menonjolkan sejauh mana setiap identiti ini mahukan ciri etniknya menjadi ciri utama dalam landskap bangsa Malaysia.

Dalam dua bab yang berikutnya, penulis mengajak pembaca mengikuti proses pembinaan bangsa menerusi tinjauan terhadap proses awal Dasar Ekononomi Baru pada 1971.

Tinjauan terhadap proses ini dilakukan dalam konteks etnik apabila penulis mengutarakan persaingan antara etnik dalam acuan bangsa Malaysia atau membina sebuah bangsa Malaysia bersatu.

Dalam bab seterusnya, penulis membicarakan asas dalam menggambarkan bangsa Malaysia daripada perspektif orang Melayu, iaitu nasionalisme Melayu. Dalam aspek ini, garapan buku ini terhadap persaingan antara Melayu dengan bukan Melayu dalam menempa negara bangsa Malaysia adalah teliti dan jelas, tanpa kecenderungan untuk menjadi terlalu sensitif atau terlalu diplomatik.

Tinjauan yang diberikan dalam bab ini melihat proses pembinaan bangsa adalah komprehensif kerana turut merangkumi Sabah dan Sarawak.

Dalam dua bab yang terakhir, penulis menekankan perbincangan tentang bangsa Malaysia. Penulis mentakrifkan “bangsa Malaysia" sebagaimana menurut tokoh yang memperkenalkan konsep itu, iaitu Tun Mahathir Mohamad, dan juga menurut pelbagai tokoh yang penting dan berwibawa dalam negara.

Selain itu, penulis juga mengulas impak pentadbiran Tun Mahathir terhadap masa depan negara dan bangsa Malaysia selepas era beliau. Segelintir pihak mungkin menolak penilaian penulis bahawa Tun Mahathir memberi sumbangan besar membantu membentuk hala tuju masa depan negara.

Dalam bab terakhir, penulis dengan rasa rendah diri mengakui bahawa pembinaan “bangsa Malaysia" bukanlah satu proses mudah dalam masyarakat Malaysia berbilang bangsa.

Malah, dalam usaha merealisasikan bangsa Malaysia siapakah yang sanggup untuk mengorbankan identiti sendiri atas nama tolak ansur.

Semua kumpulan etnik ternyata mempunyai beberapa dasar yang tidak boleh “dirundingkan" dan dengan demikian, permuafakatan dalam kalangan identiti yang berbeza mungkin tidak semudah teori integrasi dan perpaduan.

Kesedaran etnik yang meningkat, ditambah pula dengan sentimen dan persetujuan yang wujud sejak dahulu lagi tidak membantu memupuk pemahaman antara etnik dan kesederhanaan.

Sebagai kesimpulan, penulis melontarkan beberapa cabaran: Apakah implikasi dan kesan daripada keputusan pilihan raya 2013 terhadap proses pembinaan bangsa, yakni pembentukan sebuah bangsa Malaysia.

Bagaimanakah seharusnya pendamaian nasional dibentuk supaya perpaduan dapat dipupuk bagi membolehkan Malaysia melangkah ke hadapan.

Penulis juga melontarkan cabaran bahawa berfikir di luar kotak untuk mencetuskan idea baharu bagi menggerakkan negara ke hadapan dalam proses pembinaan bangsa.

Penulis, Mohamed Mustafa Ishak, melihat kembali sejarah politik dan sosioekonomi Malaysia melalui konteks etnik, nasionalisme dan persaingan antara etnik.

Pandangan pemulis merupakan pandangan akademik mendalam, tetapi mudah difahami oleh pembaca umum.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140616/ka_02/Politik-bangsa-Malaysia#ixzz34qrf56YA  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: