MOHD. Faizal Norizan (tiga dari kiri) dan Syukri Abdul Aziz (kanan) meraikan kejayaan menang emas acara pelayaran 420 duo lelaki bersama rakan sepasukan yang turut memenangi dua perak di Marina Pelayaran Wangsan, Incheon semalam. - BERNAMA
INCHEON - Ketika kontinjen negara dirundung kesedihan gara-gara pingat emas Tai Cheau Xuen ditarik balik akibat positif dalam ujian doping, pelayaran mengembalikan semula 'mood' atlet Malaysia pada Sukan Asia XVII semalam apabila menghadiahkan pingat emas yang dinantikan menerusi Mohd. Faizal Norizan-Syukri Abdul Aziz dalam kelas 420 lelaki semalam.
Faizal-Syukri sudahpun mengesahkan emas ketika saingan masih berbaki satu perlumbaan selepas mempamer aksi cemerlang dalam 11 perlumbaan pertama di Marina Pelayaran Wangsan.
Malah, Sukan Asia kali ini juga akan dikenang sebagai pencapaian terbaik sukan pelayaran yang turut meraih dua perak menerusi Laser Standard (Khairulnizam Afendy) dan 420 wanita (Nuraisyah Jamil-Norwahidah Sallahuddin).
Kemenangan Faizal-Syukri menamatkan penantian lapan tahun Malaysia yang kali terakhir merangkul emas menerusi Rufina Tan dalam Optimist Perempuan di Doha 2006, dan juga memperbaiki pencapaian dua perak dan satu gangsa yang dilakukan di Guangzhou empat tahun lalu.
Faizal-Syukri menjadi atlet lelaki pertama menyumbangkan emas pada temasya di Incheon, selepas tiga emas terdahulu semuanya diraih peserta wanita iaitu Datuk Nicol David, skuasy berpasukan dan Cheau Xuen.
"Kami meraih perak di belakang Singapura pada Kejohanan Remaja Dunia di Portugal Jun lalu dan berada di depan Jepun ketika itu. Ia adalah kali pertama negara Asia menyapu bersih pingat dalam acara tersebut.
"Sejak awal lagi saya tahu, tiga pasukan ini akan bersaing sengit untuk merebut pingat emas pada Sukan Asia, namun keyakinan kami mula meningkat selepas memenangi dua perlumbaan pertama (24 September)," kata Faizal, yang meraih emas Sukan SEA Myanmar tahun lalu.
Pasangan Jepun, Koizumi Ibuki-Matsuo Kotaro yang memenangi perlumbaan ke-12 menutup saingan dengan pingat perak menerusi 23 mata, lima mata ditinggalkan Malaysia, manakala gangsa milik Loh Jia Yi-Jonathan Yeo dari Singapura dengan 36 mata. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_02/Pelayaran-sahkan-menang-emas#ixzz3ErDQOVFJ © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment