Layak ke final Piala Malaysia, juarai Liga Super – TMJ
OLEH SUFIAN HADI MOHD. SOJAK (SUKAN@UTUSAN.COM.MY) | 28 Oktober 2014 1:13 AM
Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff memberi penghormatan kepada penyokong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, minggu lalu selepas JDT menewaskan Felda United pada separuh akhir kedua untuk mara ke final Piala Malaysia. – uTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kejayaan yang dikecapi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini sebagai sebuah perjalanan yang indah.
JDT bakal menentang Pahang dalam pertembungan dua gergasi untuk merebut kejuaraan Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Sebelum ini, skuad bimbingan Bojan Hodak itu merangkul kejuaraan pertama mereka dengan muncul juara Liga Super.
“Setelah melalui perjalanan yang hebat dan indah dalam musim ini, pengajaran yang saya ambil iktibar adalah supaya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip diri.
“Destinasi bukanlah yang lebih utama, tetapi apa yang lebih penting adalah pengajaran yang diterima sepanjang perjalanan. Ianya menyedarkan kita supaya menjadi seorang yang rendah diri, sabar, dan sentiasa bersyukur,” kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dalam Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.
Kini, anak-anak buah Hodak memerlukan selangkah lagi untuk JDT mengecapi impian menjulang Piala Malaysia buat julung kalinya bagi dijadikan hadiah istimewa kepada Tunku Ismail yang baharu melangsungkan perkahwinannya, 24 Ogos lalu.
Sepanjang laluan ke final, JDT memperoleh lapan kemenangan dan dua seri serta satu-satunya pasukan yang dapat menewaskan mereka adalah Felda setelah 4-3 dalam saingan separuh akhir pertama, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor, 20 Oktober lalu.
Malah, JDT mencatatkan rekod bersih tanpa kalah di halaman sendiri, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di Larkin, Johor Bahru yang merupakan gelanggang keramat mereka.
“Salah satu prinsip utama yang saya berpegang teguh pada musim ini ialah supaya jangan sekali-kali berputus asa, bukan sahaja dalam bolasepak, tetapi juga dalam kehidupan.
“Umpama beluncas yang menyangka dunianya telah berakhir, rupanya ia bertukar menjadi rama-rama,” katanya.
No comments:
Post a Comment