OLEH MAISARAH SHEIKH RAHIM (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 28 Oktober 2014
Abdul Gani Patail
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Jabatan Peguam Negara akan meminda atau menggubal akta baharu bagi mengekang kegiatan judi haram yang semakin berleluasa di negara ini.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, satu akta baharu amat diperlukan kerana akta sedia ada tidak meliputi peruntukan bagi membanteras jenayah tersebut yang kini banyak dijalankan secara dalam talian.
Kata beliau, pihaknya akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan pada tahun depan.
‘‘Kita perlu tengok perkara ini untuk menggubal undang-undang baharu secara pindaan atau membentuk satu undang-undang baharu, bergantung kepada keperluan dan akan dicadangkan kepada kerajaan pada tahun depan.
‘‘Untuk itu, kita akan berunding dengan agensi penguatkuasaan berkaitan kerana secara asasnya semua perkara yang membabitkan dalam talian memerlukan satu undang-undang baharu, (lebih-lebih lagi) judi haram kerana boleh menjurus kepada kegiatan lain,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan pada siri ucapan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi hari ini.
Beliau mengulas pandangan beberapa pihak bahawa undang-undang berkaitan perjudian iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dianggap sudah lapuk dan menjadi antara tiga faktor utama kegiatan judi haram di seluruh negara sukar dibanteras.
Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 pula, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa untuk menutup, menyita dan melucut hak terhadap pemilik premis yang didapati menjalankan kegiatan judi haram.
Akta Rumah Judi Terbuka 1953 hanya lebih berkesan terhadap kegiatan judi konvensional dan bukannya perjudian secara atas talian yang berleluasa di premis-premis judi ketika ini walaupun telah dilakukan pindaan.
Dalam hal itu, Abdul Gani memberitahu, undang-undang yang digubal sebelum ini tidak boleh dilabelkan sebagai lapuk kerana kegiatan yang berlaku ketika ini tidak wujud pada masa peruntukan berkenaan digubal.
‘‘Kita tidak boleh kata undang-undang itu lapuk atau tidak kerana masalah sekarang adalah perjudian dalam talian yang pada ketika dahulu tidak wujud. Dahulu perjudian hanya berlaku di rumah atau bertempat, yang boleh nampak secara fizikal bahawa ada perjudian, tetapi sekarang perjudian secara maya ini berbeza.
‘‘Jadi, apabila ada jenis perjudian dalam talian ini kita terpaksa mewujudkan undang-undang baharu,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Gani berkata, pihaknya juga akan mengkaji kemungkinan meningkatkan kadar hukuman lebih berat kepada tauke-tauke judi jika didapati bersalah.
Walau bagaimanapun, kata beliau, perkara itu akan dilihat secara teliti demi membanteras kegiatan itu secara berkesan dan menyeluruh.
‘‘Kita akan lihat bentuk denda paling sesuai dan secara teliti tetapi tidak mungkin dengan meningkatkan jumlah denda yang tinggi mampu membuatkan orang akan berhenti melakukan kegiatan ini.
‘‘Seperti sekarang ini, hukuman mati dikenakan kepada pengedar dadah, tetapi adakah anda lihat kadar pengedaran dadah bertambah atau kurang?’’ soalnya.
Mengenai tindakan aktivis politik pembangkang, Ali Abdul Jalil yang dilaporkan lari ke luar negara dan memohon suaka politik, Abdul Gani menyelar tindakan itu kerana dia sepatutnya bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya dan berani menghadapi segala kemungkinan jika benar dia tidak bersalah.
‘‘Kenapa perlu lari, kalau berani buat maka berani tanggung. Untuk semua aktivis, kamu mesti jawab tentang apa yang kamu lakukan, jadi tak perlulah nak risau lari sana sini, kamu tahu akibatnya dan kamu perlu jawab,” katanya.
Kelmarin, Ali, 29, dipercayai melarikan diri ke Stockholm, Sweden bagi mengelak dibicarakan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui Facebook pada bulan lalu.
Sebuah portal baru-baru ini melaporkan peniaga pakaian itu yang berdepan dakwaan menghina kerabat diraja Johor dan Sultan Selangor kini berusaha mendapatkan suaka politik di luar negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/peguam-negara-cadang-akta-baharu-banteras-judi-haram-1.17679#sthash.iWrE12Pc.dpuf
No comments:
Post a Comment