Johari persoal berapa negara rugi akibat liwat
28 Oktober 2014 3:00 AM
Johari Abdul
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Pemimpin pembangkang kini semakin tidak keruan menjelang perbicaraan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim esok dan lusa, sehingga ada yang sanggup mempersoalkan berapa banyak kejadian liwat itu mendatangkan kerugian kepada kerajaan serta negara.
Pertanyaan tidak logik yang dibangkitkan orang kuat Anwar sendiri, Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) itu menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai hala tuju sebenar pembangkang, kerana isu liwat adalah jenayah seksual yang bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara tetapi turut dilaknat oleh agama.
“Cuma saya hendak bertanya kepada kerajaan, berapa jumlah kerugian akibat pengliwatan ini dalam bentuk ringgit jika betul-betul berlaku? How much dollar and cents (berapa dollar dan sen)? Adakah kes ini merugikan berbilion ringgit secara sekali gus ataupun berperingkat-peringkat?.
“Adakah kerana liwat kita rugi RM400,000, RM4 juta atau RM5 juta,” kata Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam mempersoal kewajaran Anwar didakwa semasa membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu akan melalui perbicaraan terakhir esok dan lusa di Mahkamah Persekutuan, untuk memuktamadkan sama ada Ketua Pembangkang itu bakal dipenjara atau tidak.
Perbicaraan tersebut yang bermula pada 2008 mencatatkan rekod tersendiri dalam sejarah kehakiman negara apabila menyaksikan hampir 70 sesi penangguhan berlaku atas pelbagai alasan mahu pun permohonan dikemukakan pihak peguam bela yang mewakili Ketua Pembangkang tersebut.
Dalam pada itu, Johari seolah-olah menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat melepaskan geram apabila bertali arus ‘menyerang’ peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak mengetuai pendakwaan ke atas Anwar dalam isu liwat dengan membangkitkan persoalan gaji yang diterima beliau.
“Bagaimana kerajaan berbelanja dengan mengambil Muhammad Shafee menjadi peguam bagi pihak kerajaan sedangkan ratusan lagi peguam lain yang berkebolehan. Kita hendak bertanya berapa gaji yang dibayar kepada Muhammad Shafee dan untuk apa beliau digajikan,” soalnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/johari-persoal-berapa-negara-rugi-akibat-liwat-1.17603#sthash.WYzrH8U1.dpuf
No comments:
Post a Comment