30 Oktober 2014 1:53 AM
GAMBAR fail bertarikh 17 Julai lalu, menunjukkan seorang lelaki bersenjata meninjau lokasi pesawat MH17 ditembak jatuh di kampung Grabove, timur Ukraine. – AGENSI
AMSTERDAM 29 Okt. – Pasukan penyiasat Belanda meminta Rusia menyerahkan data radar sebagai bukti yang menunjukkan sebuah pesawat pejuang Ukraine dikesan terbang pada masa dan laluan yang sama digunakan oleh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ketika pesawat penumpang itu ditembak jatuh.
Ketua pasukan penyiasat, Fred Westerbeke ketika ditemubual oleh majalah Der Spiegel berkata, pihaknya sedia membantu Rusia mendapatkan maklumat radar tersebut selepas Moscow menuduh Ukraine menghantar pesawat pejuang untuk menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai lalu.
Bagaimanapun menurut Westerbeke, siasatan yang dijalankan setakat ini menolak kemungkinan yang menunjukkan insiden tersebut sebagai satu kemalangan atau serangan pengganas.
Jelasnya, pesawat MH17 mungkin ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) atau pesawat lain ekoran laporan siasatan sebelum ini mendedahkan kesan kapal terbang komersial itu ditembusi objek berkelajuan tinggi dari luar.
“Kami juga masih menunggu imej satelit daripada Amerika Syarikat (AS) yang mungkin boleh membantu merungkai misteri tragedi MH17.
“Kami meminta semua pihak agar bersabar dengan siasatan ini yang dijangka memakan masa sehingga tahun depan atau lebih lama lagi,” katanya.
Laporan awal yang disiarkan pada bulan lalu juga tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa pesawat MH17 terhempas akibat masalah teknikal atau kesilapan manusia.
Insiden pada 17 Julai itu menyaksikan semua 298 krew dan penumpang, kebanyakannya rakyat Belanda terbunuh apabila terhempas di timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tragedi-mh17-rusia-8232-diminta-serah-bukti-1.18425#sthash.ueEaYj3Q.dpuf
No comments:
Post a Comment