Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 13 October 2014

Bajet 2015 hargai penjawat awam


PUTRAJAYA 10 Okt. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 serta bantuan khas untuk pesara RM250 di samping penambahbaikan ke atas 252 skim perkhidmatan awam.

Selain itu beliau berkata, pemberian cuti menjaga anak selama setahun untuk penjawat awam wanita dalam bajet kali ini pula mencerminkan hasrat kerajaan yang mengutamakan kebajikan penjawat awam daripada golongan tersebut.

Malah katanya, perluasan insentif MyBrain15 kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan memperlengkapkan usaha mewujudkan kakitangan awam yang lebih berkualiti.

"Begitu juga dengan pengenalan Skim Perumahan Belia yang boleh dinikmati oleh penjawat awam berkelayakan serta insentif-insentif lain yang menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam antaranya had kelayakan maksimum pinjaman perumahan yang dinaikkan sehingga RM600,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini.

Merujuk perkara berkaitan, Ali berkata, pertambahan pembinaan unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M); penurunan harga minimum PPA1M; peningkatan kadar pendapatan isi rumah yang layak memiliki PPA1M kepada RM10,000 serta pemberian geran dana mudah cara kepada pemaju PPA1M juga bertepatan pada masanya bagi memastikan keperluan asas perumahan mampu dimiliki oleh penjawat awam.

"Ini menunjukkan betapa kerajaan secara berterusan mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara," katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam tempoh Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran yang bukan sahaja dihadapi oleh negara ini bahkan hingga ke peringkat global semua penjawat awam diingatkan supaya sentiasa berbelanja dan menggunakan wang secara berhemah serta bijaksana.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta penjawat awam yang merupakan tunjang dan nadi kepada Agenda Transformasi Negara untuk terus melipatgandakan usaha mempertingkatkan produktiviti supaya sistem penyampaian perkhidmatan awam melangkaui jangkaan rakyat.

"Langkah ini selaras dengan konsep 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Penjawat awam juga perlu bersedia bersama-sama dengan kerajaan untuk melaksanakan Strategi Pembangunan Nasional yang akan dilancarkan pada tahun 2015 di samping merancakkan lagi pelbagai inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan hendaklah segera melaksanakan Bajet 2015 untuk kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_04/Bajet-2015-hargai-penjawat-awam#ixzz3FzYsMiIh  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: