29 Oktober 2014 8:05 AM
ANTARA penyokong Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang hadir memberi sokongan moral di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 28 Okt. – Pasukan pembelaan dalam rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan memulakan penghujahan di Mahkamah Persekutuan hari ini dengan mempertikaikan kredibiliti mangsa sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai.
Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pembelaan berhujah, kelakuan Mohd. Saiful Bukhari selepas kejadian liwat itu serta keterangannya di mahkamah yang tidak konsisten menimbulkan banyak keraguan dan boleh dipersoalkan.
Beliau yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan muncul mengetuai rayuan itu pada saat-saat akhir bagi menggantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang menghadapi masalah kesihatan.
Peguam kanan itu menghujahkan, isu berhubung kelewatan Mohd. Saiful Bukhari membuat laporan polis selepas dua hari kejadian berlaku langsung tidak menunjukkan kelakuan bahawa dia dalam ketakutan.
Ujar Sri Ram, dalam laporan polis, mangsa mendakwa dia tidak membuat laporan polis atau menjalankan pemeriksaan fizikal serta-merta kerana bimbang keselamatannya terancam.
Bagaimanapun, hujah peguam bela, keterangan itu tidak konsisten dengan tindakannya bertemu Anwar sehari selepas kejadian bagi membincangkan surat peletakan jawatan dan selanjutnya menghadiri jamuan teh di rumah perayu selepas itu.
Sehubungan itu, pihak pembelaan mempertikaikan mengapa dia menunggu sehingga dua hari untuk menjalani pemeriksaan di hospital dan selanjutnya membuat laporan polis.
Sri Ram seterusnya berhujah, sikap bersahaja Mohd. Saiful Bukhari jelas ditunjukkan dalam sekeping gambar yang dirakam pada sesi jamuan teh pada 27 Jun 2008 dan mangsa turut mengecam wajahnya dalam gambar tersebut.
Ujar peguam bela, perangai atau kelakuan yang ditunjukkan dalam gambar tersebut tidak langsung membayangkan bahawa dia dalam ketakutan atau nyawanya terancam.
Mahkamah sedang mendengar rayuan akhir Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya itu pada 2008.
Panel tersebut juga akan mendengar rayuan balas pendakwa raya untuk menambah hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.
Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 29, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Sri Ram selanjutnya mempertikaikan isu kemasukan zakar yang menjadi intipati pertuduhan liwat apabila Mohd. Saiful Bukhari menyatakan perbuatan itu berlaku secara rakus dan laju sehingga dia merasa sakit di bahagian dubur dan senak di perut.
Peguam bela menghujahkan, jika benar jel pelincir ‘KY Jelly’ disapu pada duburnya seperti yang didakwa, mangsa tidak mungkin merasa sakit ketika diliwat kerana fungsi jel berkenaan adalah untuk melicinkan kemasukan tanpa rasa sakit.
Ujar beliau, ketiadaan ‘KY Jelly’ dalam senarai barang bukti kes turut menimbulkan keraguan yang serius terhadap kredibiliti mangsa serta keseluruhan proses siasatan.
Dalam penghujahannya, Sri Ram juga menyatakan, hakim bicara tersalah arah kerana gagal mengaitkan bahawa Anwar dan mangsa adalah rakan sejenayah dan kegagalan itu memprejudiskan anak guamnya.
Pada sesi penghujahan yang bermula kira-kira pukul 9.22 pagi, peguam bela turut membangkitkan isu seluar dalam yang dipakai oleh Mohd. Saiful Bukhari pada hari kejadian liwat (PW15) dan seluar dalam berlainan yang dipakai ketika membuat laporan polis (PW14).
Penghujahan di hadapan panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bersambung esok.
Peguam pertikai kredibiliti Mohd. Saiful Bukhari
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/pasukan-pembelaan-8232-pertikai-kredibiliti-mangsa-1.18117#sthash.OE3WZFXf.dpuf
No comments:
Post a Comment