MDINA (Malta): Penyerang Southampton, Graziano Pelle yang meledak gol tunggal kemenangan 1-0 Itali ke atas Malta pada penampilan sulungnya bersama Azzurri dalam kempen Kelayakan Euro 2016, awal pagi tadi mengakui juara 1968 itu perlu tampil lebih baik.
Sekalipun mendominasi perlawanan di Stadium Ta'Qal itu, Itali gagal menghasilkan tambahan gol sekalipun Malta terpaksa beraksi 10 pemain apabila Michael Mifsud diarah keluar padang seawal babak pertama sebelum menampilkan corak bertahan sepenuhnya.
Pelle yang beraksi cemerlang bersama Southampton di England musim ini sentiasa memberi ancaman kepada kubu Malta dan tandukannya pada minit ke-24 perlawanan merobek gawang tuan rumah namun menjadi satu-satunya gol pada perlawanan itu.
Sekalipun pulang dengan meraih tiga mata penuh dalam Kumpulan G, Pelle menyifatkan ia bukanlah keraian yang perlu disambut oleh kem Itali.
"Saya gembira berjaya menjaringkan gol dalam kami meraih tiga mata namun kami perlu menjadi lebih baik," kata Pelle kepada Sky Sport Italia.
"Saya sudah biasa bermain di England di mana kami bermain untuk menjaringkan gol," katanya Pelle yang digandingkan jurulatih, Antonio Conte bersama penyerang Borrusia Dortmund, Ciro Immobile.
Meskipun gembira dengan kemenangan ketiganya selepas kejayaan menewaskan Norway 2-0 dan Azerbaijan 2-1, Conte mengharapkan anak buahnya mampu meningkatkan permainan ketika menanti kunjungan Croatia di Milan, bulan depan.
"Perlawanan besar menentang Croatia akan memberitahu kami betapa bagus kami selepas dua bulan ini. Kami perlu bekerja dengan keras jika kami mahukan kejayaan," kata Conte. - AFP
PENYERANG bertubuh sasa Itali, Graziano Pelle meraikan jaringan tunggal kemenangan Azzurri ke atas Malta pada perlawanan Kelayakan Euro 2016 di Stadium Ta' Qali, awal pagi tadi. - Foto AP
No comments:
Post a Comment