Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday, 17 October 2014

Rekrut 'berjihad' satu ancaman

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
utusankelantan@utusan.com.my

ZULKIFELI MOHD. ZIN

KOTA BHARU 16 Okt. - Kegiatan merekrut rakyat negara ini untuk berjuang di Syria atas nama jihad mampu menggugat keamanan dan keselamatan negara.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, sehubungan itu, rakyat diminta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi melaporkan kegiatan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di negara ini.

"Jika tidak dibanteras segera, bimbang lebih ramai rakyat negara ini akan terpengaruh untuk menyertai kegiatan kumpulan militan itu. Sudah ramai rakyat kita yang pergi ke negara tersebut untuk berjuang atas nama jihad malah ada yang di sini berniat untuk ke sana tidak lama lagi.

"Tidak mustahil kumpulan yang dilatih secara militan itu akan balik senyap-senyap ke negara ini semula pada suatu hari nanti dan menubuhkan gerakan (pengganas) baharu di sini," kata beliau dalam Majlis Penutupan Program Remaja Berwawasan-Summer Camp Siri 11/2014 di Kem Desa Pahlawan, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Rusli Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah dan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Khas, Nasrudin Khalid.

Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu berlangsung selama lima hari membabitkan penyertaan seramai 553 orang pelajar dari 15 buah sekolah di seluruh negeri ini.

Sehubungan itu, Zulkifeli memberitahu, kerajaan kini giat menguar-uarkan ancaman tersebut supaya kumpulan militan berkenaan tidak bertapak di negara ini.

"Rakyat perlu sedar ancaman ini kerana mereka (ISIS) mempunyai kemampuan yang lebih dahsyat daripada al-Qaeda yang mampu menggugat keamanan negara. Jadi sebelum terjadi perkara sedemikian, rakyat perlu melaporkan kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab kerana mereka (rakyat) di mana-mana.

"Kalau mereka (kumpulan militan) ada buat latihan walaupun dalam kumpulan kecil, lapor kepada pihak berkuasa segera," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata, pihaknya akan menempatkan 50 hingga 60 anggotanya di pelantar minyak, kira-kira 27 kilometer dari darat di perairan Sabah, berhampiran sempadan laut Filipina, bagi mencegah kes-kes culik di negeri itu.

"Ini akan memudahkan ATM membuat pengawasan lebih menyeluruh.

"Andai terdapat penceroboh yang mahu melarikan diri, kita yakin akan mampu menangkap mereka kerana tentera kita sudah bersiap-sedia di lautan," ujarnya.

Beliau mengulas situasi terkini kawalan keselamatan pihak ATM di perairan Sabah.

Pada pengumuman Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubah suai dan sebuah kapal bantuan sebagai 'sea basing' (pangkalan laut) di perairan kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah dengan peruntukan sebanyak RM230 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat Petronas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141017/je_03/Rekrut-berjihad-satu-ancaman#ixzz3GMaTjPb0  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: