JOACHIM Loew (tengah) kelihatan sugul selepas Poland mendapat gol kedua dalam perlawanan kelayakan Euro 2016 di Stadium National di Warsaw, Poland semalam. Poland menang 2-0. - REUTERS
WARSAW - Juara dunia Jerman perlu memperbaiki sentuhan penyudah mereka selepas tewas mengejut 2-0 kepada Poland meski pun memiliki banyak peluang berharga selain mendominasi keseluruhan perlawanan dalam saingan kelayakan Euro 2016 semalam.
Jerman yang akan berdepan Ireland di Gelsenkirchen esok, menguasai permainan tetapi gagal mencari sentuhan penyudah berkesan.
"Saya tidak boleh mengulas banyak mengenai pasukan ini, mungkin kami gagal menyudahkan peluang yang ada.
"Sama seperti separuh masa kedua, kami bermain dengan baik, mencipta banyak peluang tetapi Poland menjaringkan gol dengan peluang pertama mereka," kata jurulatih Joachim Loew yang menurunkan barisan pemain tanpa kehadiran penyerang handalannya.
Jerman sewajarnya meraih sekurang-kurangnya satu gol selepas mendominasi permainan pada awal separuh masa kedua, khususnya selepas Poland mendahului pada minit ke-51, namun kekurangan sentuhan klinikal.
"Kami gagal menjaringkan gol. Dengan jumlah peluang yang ada, kami gagal menjaringkan gol dan menyebabkan permainan berubah.
"Kami merupakan pasukan yang lebih bagus tetapi kurang efisien di depan gawang," kata Mats Hummels yang hampir menjaringkan satu gol
Dengan penjaring terbanyak Jerman, Miroslav Klose telah bersara dari pentas antarabangsa dan kecederaan yang dialami Mario Gomez, Loew mengambil keputusan untuk memanggil penyerang Borussia Moenchengladbach, Max Kruse tetapi pemain berusia 26 tahun itu sekadar memanaskan bangku simpanan.
Mueller diberi kepercayaan untuk mengetuai jentera serangan dan dibantu wira Piala Dunia, Mario Goetze di belakangnya, namun Jerman masih gagal mencari sentuhan penyudah yang berkesan.
Lukas Podolski dimasukkan pada minit-minit akhir permainan untuk merancakkan jentera serangan namun percubaan pemain itu sekadar terkena palang sebelum Poland meraih gol kedua perlawanan.
"Saya memiliki perasaan yang kami boleh mencari gol. Kami memiliki peluang menerusi Bellarabi dan Podolski. Peluang begitu banyak apatah lagi pada separuh masa kedua, kami menguasai sepenuhnya permainan.
"Misi kami sekarang ini ialah mencari sentuhan penyudah dan menjaringkan gol. Saya akan bercakap dengan pemain, kami akan menganalisis permainan. Permainan kami bagus tetapi penyudah kami tidak," katanya. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20141013/sl_05/Loew-kecewa-dengan-penyudah-pasukannya#ixzz3G5HdZdfl © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment