Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 8 October 2014

2 juta isi rumah miskin bandar


DARI KIRI: IRMOHIZAM, WAHID OMAR

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Sebanyak dua juta atau 28.7 peratus daripada tujuh juta isi rumah di negara ini masih dikategorikan sebagai miskin bandar dengan pendapatan di bawah paras RM3,000 sebulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sehubungan itu, kerajaan akan terus meningkatkan pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup dan seterusnya menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

Katanya, ia akan dilakukan dengan mempergiatkan agenda transformasi ekonomi yang memberi fokus kepada modal insan, peningkatan dalam produktiviti serta kreativiti dan inovasi.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, lima juta isi rumah lagi atau 71.3 peratus kini mampu menjana pendapatan bulanan melebihi RM3,000 iaitu peningkatan ketara setakat awal tahun ini berbanding hanya 61.3 peratus isi rumah pada 2012.

"Kerajaan juga akan terus memberi tumpuan kepada aspek pembangunan sosial dan mengambil langkah bersesuaian dalam usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kerajaan juga akan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik serta kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia yang menawarkan barangan serta perkhidmatan pada harga berpatutan kepada semua lapisan rakyat," katanya.

Abdul Wahid berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berhubung Model Baru Ekonomi (MBE) dan pergerakan gaji serta pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, sasaran MBE untuk meningkatkan pendapatan per kapita rakyat kepada RM49,000 menjelang 2020 masih berada di landasan tepat dengan peningkatan yang ketara melalui pelbagai pemboleh ubah ekonomi.

"Dalam tempoh lima tahun antara 2008 dan 2013, ekonomi kita telah meningkat pada kadar purata 5.1 peratus setahun manakala jumlah gaji naik pada kadar lapan peratus setahun.

"Ini telah membolehkan nisbah atau peratusan gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 29.3 peratus pada 2008 kepada 33.6 peratus pada 2013 sekali gus memberi makna pembahagian hasil peningkatan ekonomi yang adil," katanya.

Katanya, dalam tempoh itu, indeks harga pengguna (IHP) juga telah meningkat daripada 98.3 kepada 110 iaitu peningkatan tahunan sebanyak 2.3 peratus yang menggambarkan peratusan pertambahan pendapatan isi rumah lebih tinggi berbanding kenaikan kadar inflasi.

"Di samping itu, pendapatan 40 peratus isi rumah terendah juga telah meningkat daripada RM1,440 pada 2009 kepada RM1,847 (2012) dan RM2,312 pada tahun 2014 iaitu peningkatan 10 peratus setahun dalam jangka masa itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20141008/pa_01/2-juta-isi-rumah-miskin-bandar#ixzz3FWMIyhcl  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: