30 Oktober 2014 3:22 AM
Pasukan polis terpaksa menahan pagar daripada dirempuh penyokong Anwar Ibrahim yang berarak dengan membawa sepanduk dan bendera parti untuk masuk ke Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 29 Okt. - Penganjuran perhimpunan di hadapan Istana Kehakiman di sini sejak semalam bagi menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara haram.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid (gambar) berkata, pihak penganjur tidak pernah memohon permit bagi mengadakan perhimpunan tersebut daripada pihak polis.
“Bagaimanapun keadaan masih terkawal dan setakat ini tiada tangkapan atau sebarang kejadian tidak diingini berlaku walaupun ada cubaan merempuh pintu penghadang besi yang diletakkan di sekeliling Istana Kehakiman,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas mengenai insiden seorang jurugambar News Straits Times Press (NSTP), yang dibaling telur oleh penyokong Anwar, Abdul Razak menjelaskan pihaknya sedang melakukan siasatan.
“Kejadian itu memang berlaku namun kita tidak dapat mengenal pasti pelakunya. Mungkin tersilap baling atau apa sahaja, niat pelaku itu tidak dapat dikenal pasti kerana ia berlaku terlalu pantas,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Razak menegaskan, beliau tidak akan tunduk dengan desakan penyokong Anwar yang mahu pagar penghadang besi diletakkan di depan Istana Kehakiman dialihkan.
Katanya, walaupun kehadiran penyokong Anwar bertambah 400 orang berbanding 300 orang semalam, pihak polis masih dapat mengawal keadaan meskipun berhadapan dengan provokasi melampau kumpulan berkenaan.
Katanya, kelancaran prosiding mahkamah menjadi keutamaan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun kita telah buka pintu penghadang besipada pukul 3.20 petang bagi memberi ruang mereka berlindung di bawah khemah kerana hujan.
“Polis menasihatkan kumpulan berkenaan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Abdul Razak berkata, penyokong sepatutnya tahu dan memahami tujuan datang ke sini bukannya menjadi pengikut yang tidak cerdik termasuk gagal menjadi pembangkang yang bijak.
“Kita percaya terdapat perancangan untuk melanjutkan prosiding sehingga Jumaat ini supaya lebih ramai penyokong pembangkang dapat berhimpun sekali gus hendak menunjukkan mereka mendapat sokongan ramai.
“Namun hakikatnya tiada apa yang perlu ditunjukkan kerana kes ini (liwat) merupakan masalah individu dan rakyat sepatutnya tidak diheret sama,” katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini menyambung hari kedua prosiding rayuan akhir Anwar yang ditudu meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penganjur-perhimpunan-tidak-mohon-permit-1.18614#sthash.vA290Jjk.dpuf
No comments:
Post a Comment