BELGRADE: Adik kepada Perdana Menteri Albania, Olsi Rama ditahan di sini atas dakwaan memulakan kekacauan yang membawa kepada pembatalan perlawanan Kelayakan Euro 2016 di antara Serbia dan Albania, awal pagi tadi, lapor televisyen negeri Serbia, RTS.
RTS melaporkan Menteri Dalaman Serbia berkata Olsi, adik kepada PM Albania, Edi Rama adalah pihak yang bertanggungjawab mengawal drone yang membawa bendera 'Greater Albanian' daripada tempat duduknya di stadium itu ke dalam padang.
Tindakannya itu pantas mencetus berang pemain Serbia yang bertindak menarik bendera itu sebelum berlakunya perbalahan di antara pemain kedua-dua pasukan.
Berang dengan situasi itu, ratusan penyokong Serbia kemudian bertindak memasuki padang untuk menyerang pemain Albania sebelum dikawal pihak berkuasa.
BENDERA yang membawa simbol 'Greater Albania' berlegar di dalam Stadium Partizan pada perlawanan Kelayakan Euro 2016 di antara Serbia dan Albania yang mencetus ketegangan sebelum perlawanan dibatalkan. - Foto EPA
Insiden itu berlaku pada minit ke-41 permainan dalam aksi Kumpulan I yang turut disaksikan Presiden, Serbia, Tomislav Nikolic yang membawa kepada pembatalan perlawanan ketika perlawanan masih berkedudukan tanpa jaringan.
Peminat Serbia mula membaling bom asap dan barangan ke dalam padang sebagai protes kepada perlawanan itu namun tiada penyokong Albania berada di dalam stadium atas sekatan yang dibuat lebih awal.
Menteri Dalaman Albania, Saimir Tahiri berkata pihaknya sudah menyaksikan peristiwa itu dan berhubung dengan rakan sejawatannya di Belgrade sebelum memperoleh jawapan balas: "Kerajaan Serbia bertanggungjawab dengan keselamatan, nyawa dan kesihatan pemain bola sepak Albania dan delegasinya." - AFP
PEMAIN Serbia dan Albania bertegang urat dengan kedua-dua pemain kedua-dua pasukan tidak mahu melepaskan bendera 'Greater Albania' yang mencetus kontroversi pada perlawanan Kelayakan Euro 2016, awal pagi tadi. - Foto Reuters
No comments:
Post a Comment