ZULKIFLI NORDIN | 23 Oktober 2014 2:18 AM
SAYA mengutuk keras kenyataan Perwakilan Johor dalam persidangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Tan Lai Soon baru-baru ini yang mendakwa orang Melayu juga ialah kaum pendatang di bumi Malaya ini sama seperti Cina dan India.
KUALA LUMPUR 07 JANUARI 2014 - Datuk Zulkifli Nordin bercakap pada Sidang akhbar mengenai isu Kalimah Allah di Taman Melawati, di sini, hari ini. Gambar : Abdul Razak Latif / Gambar sahaja.
Dakwaan seperti ini lahir mungkin kerana kejahilan mereka mengenai sejarah Nusantara Melayu dan Malaya ataupun dalam geopolitik dan geobudaya Melayu di Nusantara.
Mendakwa bangsa Melayu datang dari Indonesia dan kemudian berhijrah ke Malaya sebagai pendatang ternyata membuktikan kedangkalan mereka.
Bangsa Melayu sudah menduduki dan mendiami arkipelago Nusantara Melayu yang merangkumi antaranya Indonesia, Selatan Filipina, Selatan Thailand, Brunei, sebahagian Kemboja termasuk Malaya dan Kalimantan sejak sekian lama.
Memandangkan keseluruhan arkipelago ini adalah Nusantara Melayu, maka bangsa Melayu bebas bergerak dalam wilayah ini tanpa keperluan kepada pasport atau apa juga sekatan politik mahupun geografi.
Namun kuasa penjajah barat British dan Belanda telah memecahbelahkan geopolitik dan geografi Nusantara Melayu pada tahun 1824.
Pada 1822, British dan Belanda mengadakan kerjasama ketenteraan untuk menentang pemerintah Perancis Napoleon Bonaparte. Setelah kejayaan kerjasama itu, pada 1824, British dan Belanda mengadakan persefahaman membahagi-bahagikan wilayah jajahan mereka menurut sempadan imaginari mereka sehingga akhirnya menyebabkan wilayah arkipelago nusantara Melayu berpecah-belah; antaranya kawasan barat Selat Melaka di bawah Belanda dan timur Selat Melaka kepada British.
Bermula dari 1824, bangsa Melayu yang sebelum itu bergerak bebas di dalam wilayah arkipelago Nusantara Melayu terpaksa menggunakan pasport untuk memasuki wilayah yang dipisah-pisahkan ini.
Oleh itu, pergerakan bangsa Melayu di dalam wilayah arkipelago nusantara Melayu sebelum 1824 ini tidak boleh disamakan dengan perpindahan kaum Cina ke sini. Mendakwa pergerakan itu sebagai ‘pendatang’ samalah seperti mendakwa mereka yang datang dari wilayah Canton ke Shanghai sebagai imigran!
Pergerakan bangsa Melayu di dalam wilayah arkipelago Nusantara Melayu sebelum 1824 adalah pergerakan biasa bagi mana-mana bangsa di dunia ini yang mendiami wilayah sendiri.
Sebaliknya sejarah mencatatkan nenek-moyang kaum Cina datangnya dari negara China. Itulah hakikat sejarah yang kita tidak boleh nafikan!
Negara China tidak termasuk dalam arkipelago Nusantara Melayu - sebab itu nenek-moyang mereka yang datang ke wilayah Nusantara Melayu dipanggil imigran, sebab mereka melakukan perpindahan benua. Mereka juga tiada pertalian dengan bangsa Melayu sama ada dari segi agama, bahasa mahupun geopolitik dan geobudaya!
Oleh itu mendakwa pergerakan bangsa Melayu di dalam Nusantara Melayu sama seperti perpindahan kaum Cina dari China ke Nusantara Melayu adalah satu putar belit fakta dan sejarah.
Apa pun, pada saya isu seperti ini tidak sepatutnya dimainkan apatah lagi oleh parti komponen BN yang sepatutnya lebih memahami sensitiviti isu sebegini. Adakah mereka mahu menjadi lebih cauvinis daripada DAP? Apakah ini cara mereka mahu meraih populariti politik yang sudah merudum sehingga mengorbankan persefahaman yang telah dibina sekian lama?
Persoalan status anak watan bangsa Melayu ataupun persoalan kewarganegaraan dan nenek moyang kaum Cina dalam negara ini tidak sepatutnya lagi dibangkitkan atau dijadikan bahan politik murahan mana-mana pihak semata-mata untuk meraih undi dan populariti!
Kita perlu menerima hakikat bahawa kini bangsa Melayu, Cina dan India ialah warganegara Malaysia yang terikat dengan persefahaman, aspirasi, semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial untuk bersama-sama membina dan membangunkan tanah air ini ke arah negara maju demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
Kita sekarang, Melayu Cina dan India, adalah rakyat dan warganegara Malaysia!
Selagi kita menghormati Perlembagaan Persekutuan dan cuba sedaya upaya untuk hidup berdasarkan persefahaman, aspirasi, semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial, saya percaya kita akan berjaya membina dan membangunkan negara Malaysia tercinta ini setaraf dan mungkin mengatasi negara-negara maju lain di dunia ini!
Kita juga mesti menolak sebarang amalan atau fahaman ekstremisme, fanatik, rasis, cauvinis dan pelampau sama ada perkauman atau keagamaan! Oleh itu, saya mendesak tindakan keras di bawah Akta Hasutan diambil terhadap Lai Soon kerana ucapan seperti itu adalah berbaur hasutan dan menghina bangsa Melayu.
Malahan ucapan seperti ini perlu dihentikan terus kerana ini bukan pertama kali wakil Gerakan membuat dakwaan seperti ini.
Oleh itu, saya juga mendesak Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Kong supaya mengotakan janjinya untuk mengambil tindakan disiplin yang tegas termasuk dipecat sebagai ahli terhadap mana-mana pimpinan atau perwakilan kerana memainkan isu perkauman ini.
Kita berharap kesemua pihak termasuk ahli dan pemimpin Gerakan menghayati saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Persidangan Gerakan Ahad lalu supaya semua bentuk fanatik dan ekstremisme agama dan perkauman ditolak!
PENULIS ialah bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/melayu-pendatang-di-malaya-1.15855#sthash.maIkoRp9.dpuf
No comments:
Post a Comment