Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 31 October 2014

Kes rayuan liwat: Barisan pendakwaan mula berhujah pagi ini



TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah (tengah), Timbalan Pendakwa Raya dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat, tiba di Istana Kehakiman di Putrajaya. -Foto Effendy Rashid

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan terakhir kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki hari keempat hari ini apabila pasukan pendakwaan mula berhujah pagi ini bagi menyanggah hujah pihak pembelaan.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.

Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria. Hari ini, Muhammad Shafee akan bermula dengan membentangkan fakta kes.


Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N Surendran, R Sivarasa, J Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Pasukan pembelaan mengakhiri penghujahannya tengah hari semalam selepas tiga hari berhujah di hadapan panel lima hakim.

Mahkamah mendengar penghujahan daripada peguam bela utama Anwar, Sri Ram serta peguam N Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh.

Pada hari pertama prosiding Selasa lalu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan mengemukakan 46 alasan dalam petisyen rayuan yang baharu.

Pada 24 April, Anwar memfailkan petisyen rayuan dengan memberi 35 alasan kenapa Mahkamah Persekutuan perlu membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat, sejam sebelum berakhir tempoh yang disyaratkan beliau berbuat demikian.

Anwar, 67, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee dijangka akan meneruskan hujah pada Isnin dan kemudian pihak pembelaan akan membalas semula hujah pendakwaan.

Rayuan itu yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari mulai 28 Oktober hingga 29 Oktober berlanjutan selama empat hari dan dijangka selesai pada awal minggu hadapan.


No comments: