Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 10 October 2014

Angkara perbuatan gengster

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN, MASZUREEN HADZMAN dan MOHAMAD ARIFF MOHD. YUSOF
pengarang@utusan.com.my

Seorang anggota Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia meletakkan beg pasir sebelum memusnahkan sebutir bom yang tidak meletup dalam kejadian serangan bom tangan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Gara-gara pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap, seorang maut sementara 12 lagi termasuk empat pelancong asing cedera akibat terkena letupan salah satu daripada dua butir bom tangan yang dilemparkan di hadapan sebuah kelab malam yang terletak di tingkat bawah Sunbow Hotel Residency, Jalan Bukit Bintang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 pagi itu, kedua-dua bom tersebut dipercayai dibaling dari tingkat dua bangunan hotel berkenaan yang merupakan tempat letak kenderaan. Salah satu daripada bom itu tidak meletup dan tercampak di bawah sebuah kereta Toyota Camry.

Difahamkan, berlaku pertengkaran antara lebih 10 individu melibatkan kumpulan kongsi gelap di hadapan kelab malam tersebut dan tidak lama selepas itu letupan berlaku hingga menyebabkan beberapa orang awam ce-dera dan terbaring berlumuran darah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, insiden itu pertama kali berlaku di ibu negara dan pihaknya yang masih menjalankan siasatan tidak menolak kemungkinan dendam peribadi, perebutan kawasan atau membabitkan isu perniagaan merupakan motif kejadian.

"Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi, polis percaya sebutir bom jenis M-67 buatan Amerika Syarikat telah dilemparkan oleh lebih daripada seorang individu daripada tingkat dua yang merupakan tempat letak kereta bangunan itu sementara sebutir lagi ditemui berada di bawah sebuah kereta jenis Toyota Camry dan tidak meletup.

"Kita juga masih menyiasat sekira-nya mangsa yang cedera terlibat de-ngan kongsi gelap dan usaha mengenal pasti suspek yang terlibat sedang dilakukan melalui rakaman 22 kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di beberapa lokasi termasuk tiang lampu jalan, tempat letak kereta dan kelab malam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Tajudin, kesemua 13 mang-sa yang berusia antara 36 hingga 51 tahun telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Gleneagles, Jalan Ampang di sini de-ngan tujuh daripadanya adalah warga tempatan dan selebihnya warga asing iaitu dua dari China serta masing-masing seorang dari Thailand dan Singapura.

"Mangsa yang maut ialah Tiong Kwong Yie, 36, berasal dari Sibu, Sarawak dan bekerja sebagai joki. Dia disahkan meninggal kira-kira pukul 10.20 pagi oleh pihak hospital berikutan kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

"Selain itu, terdapat juga empat buah kereta yang diletakkan berdekatan dengan kelab malam tersebut iaitu BMW, Mazda, Toyota Camry dan Toyota Vellfire mengalami kerosakan," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian pula mendapati kawasan letupan itu telah ditutup sementara kepada umum untuk siasatan lanjut oleh pasukan forensik dan Unit Pemusnah Bom (UPB).

Bom yang tidak meletup pula berjaya dimusnahkan pada pukul 12.35 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Gan Kong Meng pada sidang akhbar di lokasi kejadian pula berkata, letupan bom itu sama sekali tidak melibatkan kumpulan militan Negara Islam (IS).

"Kita percaya ia berlaku disebabkan dendam peribadi atau bersangkut paut dengan urusan perniagaan. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan kerana membunuh dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan dan Kakisan," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141010/je_01/Angkara-perbuatan-gengster#ixzz3FhoItsjD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: