OLEH NURUL HUDA HASSAN (HUDA.HASSAN@UTUSAN.COM.MY) | 31 Oktober 2014 2:44 AM
MUHAMMAD Al-Hafiz Hamzah (kanan) bersama Jorge Pereyra Diaz melayani peminat JDT, Muhamad Shariswan Alif Mohd. Shazani, 12, yang menghidap penyakit saraf, sebelum memulakan sesi latihan di Padang Seri Gelam, Johor Bahru semalam menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung esok. – utusan/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU - Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Al-Hafiz Hamzah berjanji memberikan komitmen serta aksi terbaiknya bagi menjaga gawang daripada dibolosi pasukan Pahang, sekali gus membantu pasukannya membawa pulang Piala Malaysia ke Johor musim ini.
Setakat ini hanya posisinya dalam skuad sudah terjamin apabila diberi kepercayaan oleh pengendali JDT, Bojan Hodak untuk beraksi Sabtu ini.
“Saya sudah bersedia dan akan memberikan 110 peratus untuk pasukan,” katanya apabila ditanya tentang persiapannya menghadapi final Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
Muhammad Al-Hafiz yang ditemui pada sesi latihan bersama skuad Harimau Selatan di padang Seri Gelam dilihat bersemangat ketika mendengar segala tunjuk ajar jurulatih bersama rakan-rakan lain dalam mempersiapkan diri untuk bertemu Pahang.
Dia mengakui bakal berdepan tugas berat untuk menghalang percubaan pasukan Pahang terutamanya dua pemain import mereka, Mathias Conti dan Dickson Nwakaeme, namun memberi jaminan akan berusaha yang terbaik.
“Saya juga pasti rakan-rakan lain akan memberikan aksi terbaik sama seperti saya kerana kami berharap dapat menjulang Piala Malaysia kali ini,” katanya.
Sementara itu, Hodak memberitahu, tiada sebab untuk membuat pertukaran bagi penjaga gol pasukan kerana menyifatkan Muhammad Al-Hafiz sudah memberikan aksi dan komitmen terbaiknya dalam perlawanan sebelum ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/al-hafiz-janji-komitmen-110-1.18953#sthash.yIfjZwxS.dpuf
No comments:
Post a Comment