OLEH ZULKIFLI JALIL (PENGARANG@UTUSAN.COM) | 29 Oktober 2014 12:59 PM
Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Tan Sri Prof Dr Ghauth Jasmon (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada penggantinya yang baru Datuk Prof Dr Mohd Amin Jalaludin (kanan) pada Majlis Serah Tugas di Pejabat Canselor Universiti Malaya di sini hari ini.
PIHAK berkuasa harus belajar dari isu yang terjadi di Universiti Malaya (UM) malam kelmarin.
Dakwa Persatuan Mahasiswa UM, pihaknya telah berjumpa dengan Naib Canselor (VC), Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin (gambar) pada tengah hari hari berkenaan. Tetapi pentadbiran universiti itu dikatakan tetap enggan membenarkan program yang dihadiri Anwar Ibrahim itu. Namun program yang jelas bermotif politik itu akhirnya dijayakan juga di Dataran Dewan Tunku Canselor.
Mengapa program seperti ini boleh dibenarkan? Mana perginya kelibat ketegasan VC, Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan TNC Akademik UM? Adakah sukar sangat hendak mengekang anak muda yang mengetuai persatuan mahasiswa terbabit?
Perlakuan pelajar mengetepikan nasihat pentadbiran universiti tidak patut berlaku sekiranya ditangani dari awal lagi.
Apatah lagi nada keangkuhan presiden persatuan mahasiswanya ‘kalau berani pecatlah saya’ yang nampak sangat kedangkalannya dalam meluahkan kenyataan itu. Dalam sibuk pelajar-pelajar Cina dan India menelaah pelajaran untuk mencapai keputusan akademik terbaik, anda sendiri tidak tahu ke mana hala tuju anda.
Adakah kemungkinan dalam isu ini, VC tidak mahu pening kepala, kemudiannya menyerahkan kepada TNC HEP untuk membuat keputusan membenarkan atau tidak program ‘40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara’ itu. Dan TNC HEP terpaksa ‘ambil langkah selamat’ buat laporan polis sebagai jalan keluar.
Belum pun isu ‘kajian penyelidikan’ Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel) yang tercetus baru-baru ini selesai, kelmarin satu lagi isu timbul di universiti sama.
Bagi mengelak pelajar termasuklah anak muda yang mengetuai persatuan mahasiswa di UM terikut-ikut mahu meniru ‘rentak pemberontak dan mengejar populariti’ dan akhirnya merosakkan institusi tempat anak Melayu belajar menimba ilmu, sesuatu perlu dilakukan.
Siasat dan banteraslah sentimen pembangkang yang telah dan sedang menular di sebilangan universiti.
Di UM sendiri, VC terbabit perlu menyiasat adakah pegawai yang diamanahkannya benar-benar bertanggungjawab menjalankan peranan mendidik. Adakah pegawai yang berdamping dengannya sebagai rakan teh tarik, berperilaku umpama ‘gunting dalam lipatan’.
Periksalah apa muslihat mereka. Mereka nampakkan cara menghalang tetapi hakikatnya mereka seperti mahu program berkenaan diteruskan.
Andai pengurusan UM mengambil jalan untuk ‘Blackoutkan’ UM, ia umpama tindakan yang memberi persepsi buruk kepada kerajaan.
Sepatutnya VC UM bertegas untuk tidak mengheret UM dalam episod dianggap menghina mahkamah. Adakah VC UM seakan-akan mengikut telunjuk orang lain?
Kepemimpinan universiti yang tidak boleh berdepan dengan mahasiswa serta isu-isu sekelilingnya tidak seharusnya terjadi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mana-kelibat-vc-tnc-akademik-hep-um-1.18160#sthash.G5sS6Gy6.dpuf
No comments:
Post a Comment