Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak berbual bersama beberapa pemimpin MCA ketika melawat galeri sejarah MCA sambil diperhatikan oleh Liow Tiong Lai (kanan) dan Wee Ka Siong (empat dari kiri) pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan muridnya ke tahap lebih baik.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dalam percakapan.
"Kita harap SJKC belajar bahasa kebangsaan dengan baik, boleh tak? Jangan guna 'gua', 'lu' lagi. Bercakap seperti Presiden MCA. Keseluruhan ucapan dasar beliau dalam bahasa (Melayu), tahniah. Kita hendak macam itulah, lancar bahasa kebangsaannya.
"Orang Melayu pun boleh belajar bahasa Mandarin, anak saya pun belajar bercakap bahasa Mandarin,'' katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 di Wisma MCA, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan barisan kepemimpinan parti itu serta komponen Barisan Nasional (BN).
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, masyarakat Cina tidak perlu bimbang dengan pembelajaran bahasa ibunda di SJKC kerana telah termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.
"Jangan risau mengenai SJKC, ia sudah pun termaktub bahawa hak belajar bahasa ibunda dalam undang-undang negara. Dalam nasional blue print pun ada SJKC. Sebab itu saya bagi peruntukan baharu kepada SJKC dalam bajet kali ini,'' katanya.
Sementara itu, menurut Najib, masa depan MCA kini bergantung sepenuhnya kepada perpaduan ahli dan pemimpinnya.
Berikutan itu, kata beliau, pemimpin MCA perlu merapatkan barisan dan menghentikan sebarang pertelingkahan sesama sendiri bagi mengelakkan rakyat berasa bosan serta parti tersebut kehilangan hala tuju.
Sebagai parti komponen BN, kata beliau, MCA mesti menjadi parti yang kuat dan bersatu sekali gus membantu mengembalikan semula sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada pilihan raya akan datang.
"Masa depan MCA bergantung kepada perpaduan. Perlu saling bekerjasama dan kuat bersama-sama. MCA ialah rakan kongsi kami, jangan gaduh sesama sendiri. Sudah-sudahlah,'' katanya yang menyifatkan kewujudan puak-puak dalam parti akan menyulitkan pemilihan calon pilihan raya.
Najib bagaimanapun percaya kepemimpinan baharu MCA di bawah Tiong Lai telah menetapkan hala tuju dan gerakan untuk memulihkan parti berkenaan selain mengajak mereka mengingati sejarah perjuangan pemimpin terdahulu dan memahami asal-usul pembentukan negara, Perlembagaan serta perjanjian kontrak sosial.
Beliau cuba berlaku adil dan mahu melakukan lebih banyak kepada semua kaum tetapi masyarakat Cina juga perlu untuk menyokong BN.
Terdahulu, Tiong Lai dalam ucapannya berkata, MCA membantah pihak yang mencabar atau mempersoalkan kedudukan pendidikan Cina dalam negara ini khususnya desakan agar SJKC dimansuhkan.
Beliau berkata, institusi pendidikan Cina telah melahirkan ramai golongan profesional berkemahiran tinggi dan berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara.
"Desakan untuk memansuhkan SJKC tidak akan membantu BN meraih sokongan rakyat. Kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya untuk menjamin kesinambungan kepelbagaian bahasa yang terdapat dalam negara kita,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141013/dn_01/Perpaduan-masa-depan-MCA#ixzz3G0DnJOFF © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment