Rayuan ketepi hukuman penjara 5 tahun kesalahan meliwat Saiful
29 Oktober 2014 6:45 AM
Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika di pekarangan Istana Kehakiman, Purtrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 28 Okt. - Mahkamah Persekutuan hari ini menegur salah seorang peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria membuat teguran tersebut apabila peguam, N. Surendran berhujah berhubung keterangan bela diri Ketua Pembangkang itu yang dibuat dari kandang tertuduh.
“Berikan nas undang-undang yang berkaitan. Awak mengatakan bahawa mahkamah perlu mengambil kira keterangan dan penafian yang dibuat oleh Anwar dari kandang tertuduh, berikan nas undang-undang yang boleh menyokong hujah awak,” kata hakim tersebut.
Surendran kemudian memaklumkan nas undang-undang berkaitan telah dilampirkan di dalam ikatan dokumen yang difailkan.
“Sekiranya awak hendak menjimatkan masa mahkamah, awak seharusnya menyediakan nas undang-undang tersebut sebagaimana yang dibuat oleh (Datuk Seri) Gopal Sri Ram, supaya kami tidak tercari-cari,” tegur Hakim Arifin.
Terdahulu, peguam terbabit menghujahkan bahawa Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila tidak mempertimbangkan keterangan bela diri Anwar yang menyentuh isu konspirasi politik untuk menjatuhkan reputasi dan memusnahkan karier politik perayu.
Katanya, keterangan Anwar itu telah disokong oleh keterangan Mohd. Saiful Bukhari sewaktu sesi soal balas apabila mangsa tidak menafikan ada bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri) di kediamannya beberapa hari sebelum laporan polis dibuat.
“Oleh itu, adalah wajar mahkamah mengambil kira keterangan bela diri Anwar walaupun ia dibuat dari kandang tertuduh,” ujar peguam tersebut.
Secara keseluruhan, pihak pembelaan akan berhujah atas 46 isu dan sehingga petang ini, kira-kira lapan isu telah dihujahkan.
Esok, prosiding akan bersambung dengan hujah oleh peguam, Sangeet Kaur yang akan menyentuh mengenai identiti ‘Lelaki Y’ yang dikatakan mempunyai padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dengan Anwar.
Sementara itu, kes rayuan Anwar ini menyaksikan kawalan keselamatan di Istana Kehakiman bertukar menjadi sangat ketat apabila pihak media terpaksa melalui enam tapisan sebelum dibenarkan masuk ke dalam mahkamah.
Bagi dua pemeriksaan pertama, nama media yang akan membuat liputan di dalam dewan dipanggil satu persatu dan mereka yang disebut namanya perlu menyerahkan kad pengenalan sebagai pengesahan.
Hanya kira-kira 18 anggota media dibenarkan masuk berdasarkan senarai yang telah disenarai pendek.
Setiap organisasi telah diminta oleh pihak polis untuk menghantar nama individu yang akan membuat liputan Jumaat lalu. Namun, pada hari ini, kekecohan berlaku apabila tidak semua mereka yang menghantar nama dibenarkan masuk ke dalam mahkamah.
Selesai dua tapisan pertama, wartawan yang telah memberi kad pengenalan mereka, akan diperiksa namanya sekali lagi dengan senarai media di bahagian atas tangga utama Istana Kehakiman sebelum dibenarkan memasuki lobi mahkamah.
Sebelum itu, setiap beg wartawan perlu melalui mesin pengimbas dan mereka kemudian perlu mengambil pas liputan berwarna biru di lobi berkenaan.
Apabila memperoleh pas tersebut, kesemua wartawan menuju ke tingkat dua kompleks bangunan tersebut dan pemeriksaan badan dibuat sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/mahkamah-tegur-peguam-bela-anwar-1.18072#sthash.6TSrPPUd.dpuf
No comments:
Post a Comment