KUALA LUMPUR 10 Okt. - Bajet 2015 diyakini mampu memberi kesinambungan kepada usaha berterusan negara dalam merancakkan industri komunikasi dan multimedia ke arah mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi berkata, bajet kali ini lebih memberi fokus kepada peningkatan kandungan digital kreatif dan jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha menjana pembangunan ekonomi maya.
"Usaha ini penting bagi melonjakkan kandungan digital tempatan ke persada antarabangsa dan turut selari dengan inisiatif kita baru-baru ini dalam penganjuran ekspo dan persidangan KL Converge yang telah memaparkan potensi industri kreatif tempatan serta serantau melalui platform penyatuan idea dan pengagihan kandungan digital.
"Bajet tersebut juga membantu meneruskan inisiatif merancakkan industri kreatif melalui dana industri kandungan digital dengan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SKMM merangkumi industri animasi, perfileman, seni reka, warisan budaya serta kandungan dalam talian termasuk portal internet dan aplikasi mudah alih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Sharil turut berterima kasih kepada kerajaan yang terus berusaha meningkatkan keupayaan jalur lebar berkelajuan tinggi bagi memacu budaya serta gaya hidup digital di samping merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di negara ini.
"Bajet 2015 terus memperlihatkan komitmen kerajaan melalui peruntukan sebanyak RM2.7 bilion bagi tempoh tiga tahun untuk membangunkan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan ekonomi berimpak tinggi, meliputi ibu negeri dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara.
"Ia juga melibatkan pembinaan 1,000 menara pencawang telekomunikasi baharu dan pembinaan kabel dasar laut bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak," katanya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Pasaran Modal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein berkata, Bajet 2015 dapat mengimbangi usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi serta memenuhi keperluan rakyat terutama bagi memiliki kediaman sendiri.
"Ketika negara berhadapan dengan peningkatan harga hartanah dan rakyat terutamanya golongan muda berdepan kesukaran membuat pinjaman perumahan, sekiranya peminjam terus bergantung kepada simpanan KWSP untuk membeli rumah, pencarum bakal berdepan masalah apabila bersara kelak.
"Sehubungan itu, kami amat mengalu-alukan pewujudan Skim Perumahan Belia untuk pembeli pertama yang dibentangkan dalam Bajet 2015. Melalui skim tersebut, pencarum bukan sahaja dapat memiliki kediaman sendiri, malah mampu meluaskan pelaburan dan bersedia dengan dunia persaraan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141011/dn_16/Bajet-2015-diyakini-mampu-rancakkan-industri-komunikasi#ixzz3FzhE2rL2 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment