Tundukkan Harimau Selatan 4-3 dengan 10 pemain
OLEH NOR AZAN FITRI
AHMAD HIDZIR (SUKAN@UTUSAN.COM.MY) | 21 Oktober 2014 4:00 AM
KUALA LUMPUR , 20 Oktober 2014--Pemain JDT, Mohd Nazrin Nawi (kanan) diasak pemain Felda United, Hasni Zaidi pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium MPS, Selayang, di sini hari ini. GAMBAR/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN/utusan
PEMAIN Felda, Indra Putra Mahayuddin (kiri) bersaing dengan penyerang JDT, Mohd. Amri Yahyah (tengah) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium MPS, Selayang, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
Walaupun beraksi dengan 10 pemain sepanjang 36 minit terakhir permainan, Felda United membuktikan mengapa mereka digelar The Fighters apabila mempamer semangat juang tinggi untuk menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-3 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Selayang, semalam.
Kemenangan tipis bagaimanapun menyaksikan anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu berdepan misi sukar apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin untuk aksi separuh akhir kedua, hujung minggu ini.
Felda garang di awal permainan dan mendahului seawal minit kelapan menerusi Edward Junior Wilson yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti.
Skuad The Fighters terus menguasai permainan dengan beberapa peluang tercipta menerusi gerakan menarik Indra Putra Mahyuddin dan pemain import Mkeche Ndumba.
Ketika perlawanan hampir memasuki waktu rehat, Ahmad Syamim Yahya menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan lencong.
Pareyra Diaz merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-52 apabila dia yang tidak dikawal melakukan rembatan deras menewaskan Farizal Harun.
Felda terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-54 selepas Nasriq Baharom dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua akibat mengkasari Pereyra Diaz.
Kekurangan pemain tidak mematahkan semangat The Fighters yang berjaya menambah jaringan ketiga menerusi Ndumba pada minit ke-60.
JDT menerusi pemain gantian, Luciano Figueroa kembali merapatkan jurang 3-2 pada minit ke-80 apabila menanduk masuk hantaran terus Amri.
Ketika perlawanan berbaki tiga minit untuk ditamatkan, Pereyra Diaz menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras ke kiri gawang, namun Ndumba muncul wira Felda dengan meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/felda-memang-8232-the-fighters-1.15083#sthash.lTSh1sew.dpuf
No comments:
Post a Comment