Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my
HASBULLAH Abdullah (dua dari kiri) bersama ahli Persatuan Tionghua Muslim (dari kiri), Maliyah Sulaiman Chang, Adam Chong Abdullah, Nurhidayah Abdullah dan Maslina Abdullah menunjukkan daging korban yang diterima dalam Majlis Korban Berkelompok peringkat negeri di Masjid Cina, Krubong, Melaka, semalam. - UTUSAN/azli ahad
MELAKA 6 Okt. - Hidayah Allah boleh datang tidak kira umur, bangsa, jantina mahupun tahap ketaatan seseorang kepada agama yang dianutinya sebelum memeluk Islam.
Itulah peristiwa manis dilalui bekas sami Hindu, Hasbullah Abdullah, 62, yang terbuka hatinya untuk memeluk Islam setelah menginsafi tragedi tsunami di wilayah Aceh, Indonesia pada Disember 2004.
Dia ketika ditemui berkata, tragedi yang mengorbankan lebih 200,000 nyawa itu jelas membuktikan kekuasaan Maha Pencipta hingga memberinya hidayah untuk melafaz dua kalimah syahadah setahun selepas kejadian iaitu pada 27 Disember 2005.
Katanya, peribadi dirinya bertambah baik selepas memeluk Islam dan menjadi lebih tenang kerana sentiasa berusaha mematuhi perintah agama.
"Ilmu agama yang dipelajari di Balai Islam Lorong Pandan selain menghadiri kuliah di masjid dan membaca al-Quran setiap hari melihatkan Islam sebagai agama cukup indah serta sempurna," katanya ketika ditemui pada Majlis Korban Berkelompok peringkat negeri di Masjid Cina, Krubong, di sini hari ini.
Jelas Hasbullah, hidupnya bertambah gembira dan bermakna setelah isterinya, Munirah Abdullah serta anak perempuannya, Nurul Huda turut mengikut jejak langkah memeluk Islam setelah dia mengerjakan umrah pada 2010.
"Saya turut berjaya menarik seramai 24 lagi saudara baharu untuk memeluk Islam dan akan terus berusaha menjalankan dakwah bagi mendekatkan lebih ramai individu bukan Islam dengan agama suci ini," ujarnya.
Majlis yang turut diadakan di seluruh negeri bermula semalam itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Sazali Muhd. Din dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md. Amin.
Pada majlis itu, sebanyak dua ekor lembu dan dua kambing dikorbankan hasil sumbangan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob untuk diagihkan kepada kira-kira 100 penerima saudara baharu.
Sementara itu Yaakub memberitahu, MAIM melalui pelbagai usaha telah berjaya menarik seramai 157 individu memeluk Islam sehingga 30 September lalu di negeri ini.
"Jumlah ini bagaimanapun masih kurang berbanding jumlah keseluruhan pada tahun lalu seramai 269 saudara baru dan secara puratanya, kira-kira 250 orang memeluk Islam setiap tahun di negeri ini," jelasnya.
Tambah beliau, usaha kerajaan negeri yang memberi tumpuan khusus bagi pembangunan Islam di Melaka berjaya menonjolkan keindahan dan kesempurnaan agama dalam menjalani kehidupan seharian.
"Amat penting buat umat Islam berperibadi mulia dan berkelakuan baik kerana ia bakal menjadi contoh kepada orang lain tertarik dengan agama ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141007/dn_09/Sami-Hindu-peluk-Islam-selepas-tragedi-tsunami#ixzz3FX99FNVG © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment