OLEH AQILAH MIOR KAMARULBAID (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 21 Oktober 2014 3:37 AM
Othman Mustapha
KUALA LUMPUR 20 Okt. – Penganjuran Kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cubaan mencipta budaya baharu sekali gus membawa kepada perbuatan menghina Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, hal ini sekali gus telah menimbulkan keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam kerana secara jelas bercanggah dengan pegangan mazhab dan adat di negara ini.
Beliau berkata, Mazhab Syafie melarang umat Islam menyentuh anjing secara sengaja kerana ‘menajiskan’ diri tanpa tujuan munasabah adalah haram di sisi Islam.
“Walaupun islam meletakkan kaedah sertu (samak) apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah, namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis berkenaan secara sengaja.
“Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas penganjuran kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya semalam yang dikatakan bagi menepis persepsi negatif orang ramai terutamanya umat Islam terhadap haiwan berkenaan sebagai haiwan peliharaan seperti kucing.
Dalam pada itu, Othman turut menegur pihak penganjur yang mengadakan kempen memegang anjing secara sengaja dan terbuka kepada umum termasuk mereka yang beragama Islam tanpa sebarang sebab yang munasabah.
“Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada Mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi. Justeru, peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi mazhab tersebut,” jelasnya.
Munurut Othman, Islam pada dasarnya tidak memandang keji kepada anjing sebagai salah satu makhluk Allah, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh haiwan tersebut tanpa sebab yang secara terangan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Sebaliknya, anjing wajar diberi kasih sayang. Walau bagaimanapun, Mazhab Syafie tidak membenarkan haiwan tersebut dijadikan binatang peliharaan.
“Dalam perkembangan ini, penganjur kempen tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan,” katanya.
No comments:
Post a Comment