Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 1 October 2014

SUKAN ASIA 2014 : Terjun terus setia sumbang pingat, raih satu perak, satu gangsa semalam


INCHEON - Hampir menjadi atlet gimnastik, malah pernah terfikir untuk menjadi pemain bola sepak, namun pada akhirnya sukan terjun yang menghadiahkan pingat buat Ahmad Amsyar Azman pada Sukan Asia XVII.

Membuat penampilan sulung di temasya sukan terbesar Asia itu, Amsyar yang hampir tidak disenaraikan dalam acara tiga meter papan anjal seirama, bagaimanapun gembira kerana penyertaan pada saat akhir menghadiahkan sebutir perak bersama Ooi Tze Liang di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan semalam.

Gandingan muda negara itu melengkapkan enam terjunan dengan mengumpul 405.81 mata, 55.05 mata di belakang pasangan China, Cao Yuan-Lin Yue. Gangsa miliki pasangan tuan rumah, Kim Yeong-Nam-Woo Ha-Ram dengan 399.09 mata.

"Hanya semalam baru jurulatih memutuskan saya akan berpasangan dengan Tze Liang dalam acara 3m papan anjal seirama. Sebelum ini, nama Chew Yiwei turut disebut tetapi akhirnya saya yang dipilih.

"Saya memang sedih kalau tidak dipilih kerana ini acara kegemaran saya, hari ini saya gembira dapat membalas kepercayaan jurulatih dengan menghadiahkan perak.

"Pingat ini saya tujukan buat bapa saya, Azman Hassan kerana tidak pernah jemu memberi sokongan, malah dia adalah orang yang bertanggungjawab mendorong saya untuk memilih terjun sebagai karier.

"Sebenarnya saya minat gimnastik, tetapi bapa kata terjun lebih sesuai dengan saya. Pernah juga terfikir hendak jadi pemain bola sepak atau perenang, tetapi kata bapa fizikal saya yang kecil tidak sesuai untuk semua sukan itu.

"Akhirnya saya memilih terjun kerana ikut cakap bapa dan alhamdulillah hari ini saya berada di sini. Selepas ini, misi saya adalah untuk layak ke Olimpik di Rio, itulah impian sejak mula menceburi sukan terjun," kata Amsyar, yang mula menjadi penerjun di usia 14 tahun.

Menurut penerjun kelahiran Kangar, Perlis berusia 22 tahun itu lagi, misi seterusnya di Incheon adalah cuba mencari satu lagi keputusan baik dalam acara 1m papan anjal individu yang berlangsung hari ini.

Sementara itu pasangan berpengalaman, Leong Mun Yee-Pandelela Rinong turut menambah pingat buat Malaysia selepas meraih gangsa dalam 10m platform seirama wanita selepas mengutip 313.92 mata.

Walaupun Mun Yee tidak pernah gagal membawa pulang pingat dalam semua Sukan Asia yang disertai sejak membuat penampilan sulung di Busan 2002, namun kegagalan mempertahankan perak yang diraih di Guangzhou empat tahun lalu dalam penampilan terakhir sedikit mengecewakannya.

Emas acara tersebut milik pasangan pilihan, Chen Ruolin-Liu Huixia dari China dengan 346.50 mata, manakala gandingan Korea Utara, Kim Unhyang-Song Namhyang merangkul perak menerusi 320.64 mata.

"Dapat menyumbang pingat dalam setiap Sukan Asia yang saya sertai memang menggembirakan, namun hari ini sebenarnya saya agak kecewa kerana kami sepatutnya boleh memberi persembahan yang lebih baik.

"Kesilapan dalam terjunan keempat memberi kesan kepada kutipan mata dan akhirnya kami terpaksa berpuas hati meraih gangsa. Ini mungkin Sukan Asia terakhir saya dan ini adalah satu-satunya acara yang saya sertai di Incheon, jadi sedikit mengecewakan," kata Mun Yee.- UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141001/su_05/Terjun-terus-setia-sumbang-pingat-raih-satu-perak-satu-gangsa-semalam#ixzz3ErEoad73  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: