Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 29 October 2014

‘Duri dalam daging’ polis

Anggota bersekongkol judi haram akan dibuang kerja – KPN

OLEH AZRAI MOHAMMAD (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 29 Oktober 2014 7:24 AM

Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan kegiatan judi haram yang berleluasa di seluruh negara ketika ini sebagai ‘duri dalam daging’ bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak untuk memeranginya.

Menurutnya, tindakan tegas seperti buang kerja akan diambil sekiranya terdapat pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan ahli-ahli sindiket terbabit.

“Saya telah arahkan semua Ketua Polis Negeri supaya memastikan Ketua Polis Daerah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah membersihkan kawasan masing-masing dalam tempoh seminggu.

“Semua pihak perlu memandang serius arahan ini dan mengambil tindakan seperti mana yang diarahkan demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap polis.

“Ini bukanlah amaran kosong kerana saya akan mengotakan kata-kata saya,” katanya ketika berucap pada Seminar Ketua Polis Daerah di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Khalid berkata, pihak­nya memerlukan undang-undang yang lebih bersesuaian untuk meng­hukum pemilik premis dan kuasa menyekat laman web perjudian dalam talian bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, PDRM telah pun berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai perkara itu khususnya bagi mewujudkan satu peraturan bagi membolehkan pihak berkuasa menghukum pemilik premis yang membenarkan kegiatan judi haram beroperasi di premis mereka.

“Kita tahu ada pemilik premis yang mengambil kesempatan membenarkan kegiatan judi haram beroperasi di tempat mereka disebabkan kadar sewa berlipat kali ganda. Jadi, mereka perlu bertanggungjawab terhadap premis yang mereka sewakan.

“Selain itu, kita belum ada undang-undang untuk menyekat kegiatan judi dalam talian. Justeru, saya berharap diwujudkan undang-undang berkaitan supaya kita boleh mengambil tindakan,” katanya.

Khalid turut memberitahu, laporan Mingguan Malaysia pada 26 Oktober lalu mengenai kegiatan judi haram telah memberi tamparan hebat kepada beliau sebagai Ketua Polis Negara yang dianggap kurang tegas menangani isu tersebut.

“Saya membayangkan bahawa sikap kurang percaya terhadap polis akan berlaku sekiranya aktiviti ini tidak ditangani dengan serius. Namun apa yang kita gusarkan selama ini telah pun berlaku dan PDRM berdepan pelbagai persoalan yang dilihat sebagai mencabar kredibiliti dan integriti kita khususnya saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada mesyuarat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, isu ‘duit kopi’, ‘boleh bincang’ saman trafik serta beberapa perkara lain berkaitan perlakuan rasuah dalam kalangan warga PDRM telah dibangkitkan.

“Saya tidak menolak dakwaan yang dibuat secara total kerana saya harus akui bahawa ada segelintir anggota yang sanggup menggadai maruah dan integriti mereka,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan yang menyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi lebih banyak memberi pendedahan kepada media mengenai aktiviti haram seperti judi dan penyeludupan berbanding pihak polis, Khalid menjelaskan, sebagai menteri, Ahmad Zahid banyak memperoleh maklumat daripada orang ramai.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tidak perlu berbincang dengan saya (untuk keluar kenyataan akhbar). Beliau juga bertanggungjawab mengenai keselamatan negara, jadi sebab itu saya rasa beliau kerap membangkitkan perkara tentang jenayah,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-duri-dalam-daging-8217-polis-1.18109#sthash.LDvYGKsE.dpuf


No comments: