Cubaan liberalkan hukum Islam – Dewan Ulama Pas Pusat
OLEH MOHD. ASRON MUSTAPHA (MOHDASRON.MUSTAPHA@UTUSAN.COM.MY) | 23 Oktober 2014 2:48 AM
Mohd. Khairuddin Aman Razal
Pas menggesa pemimpin politik Islam yang memuji dan menggalakkan penganjuran ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ supaya segera bertaubat kepada Allah kerana kempen tersebut jelas bercanggah dengan syariat serta akhlak Islam.
Ketegasan Pas yang disuarakan menerusi Dewan Ulama Pusatnya itu dibuat selepas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang juga anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji penganjuran berkenaan.
Nurul Izzah menerusi laman Twitternya dipetik sebagai berkata, “Islam juga adalah tentang kasih sayang. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang hadir” walaupun penganjuran berkenaan dikutuk hebat pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, penganjuran ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ jelas merupakan hakikat kepada sebahagian daripada agenda liberalisme untuk meliberalkan hukum-hakam agama Islam.
Katanya, atas sebab itu, selain pemimpin politik Islam yang bertindak memuji serta menggalakkannya, semua pihak terlibat baik penganjur mahu pun mereka yang hadir sebagai peserta perlu segera bertaubat kepada Allah.
“Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan kepada pemimpin politik Islam yang memuji dan menggalakkan penganjuran program seumpama itu agar bertaubat kepada Allah dan jangan dimulakan suatu ikutan yang tidak baik kepada masyarakat Islam.
“Percubaan untuk mempromosi syariat salah dengan dipelopori orang Islam sendiri menerusi agenda yang dilabelkan dengan label yang lunak hakikatnya adalah agenda liberalisme untuk meliberalkan hukum-hakam Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahad lalu, penganjuran program ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Petaling Jaya mendapat sambutan segelintir umat Islam dan ramai dalam kalangan mereka yang hadir bertindak menyentuh serta membelai haiwan tersebut sebelum memuat naik gambar di Internet.
Penganjurnya, Syed Azmi mendakwa, tujuan penganjuran kempen tersebut adalah untuk menghakis perasaan takut orang ramai terhadap anjing yang digambarkan sebagai ganas dan sering menyerang manusia.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, sebarang usaha berdalih dan mencari alasan semata-mata untuk menghalalkan atau merasionalkan sesuatu yang salah perlu ditolak sama sekali, apatah lagi jika kenyataan berkenaan dibuat oleh pemimpin politik.
“Ia hanyalah dalih untuk meliberalkan amalan syariat umat Islam. Hukum Islam tidak diamalkan berdasarkan nafsu untuk mencari yang mudah tetapi untuk mencari pendapat yang terkuat dengan dalil terkuat berdasarkan penilaian ulama muktabar,” jelasnya.
Tambah beliau, hadis-hadis sahih dengan jelas mengatakan bahawa haram hukumnya membela anjing kecuali untuk menjaga ternakan atau berburu manakala kempen pada Ahad lalu pula cuba membawa mesej kepada masyarakat mengenai anjing tanpa menghirau hukumnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-gesa-pemimpin-politik-bertaubat-1.15920#sthash.u0IzkGdu.dpuf
No comments:
Post a Comment