Banyak premis judi henti operasi – Mohmad Salleh
OLEH THOMAS CHONG (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 31 Oktober 2014 2:25 AM
Mohmad Salleh
SEPANG 30 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap optimis untuk menghapuskan kegiatan judi haram secara menyeluruh dalam tempoh arahan yang masih berbaki 48 jam walaupun operasi penguatkuasaan beberapa hari kebelakangan ini kurang berjaya ekoran banyak premis judi memilih untuk tutup kedai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, hanya 20 hingga 30 peratus serbuan yang dilakukan ke atas premis judi termasuk pusat perjudian berkomputer mendatangkan hasil kerana banyak premis haram tersebut telah berhenti operasi untuk mengelak penguatkuasaan.
Mohmad berkata, polis bagaimanapun tidak akan berputus asa sebaliknya bersedia melipat ganda usaha penguatkuasaan serta meningkatkan kekerapan operasi menjelang tempoh akhir yang diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menyelesaikan isu mesin judi.
“Kini ada baki dua hari (menjelang tempoh akhir), namun saya cukup yakin isu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan operasi bersepadu dan kekerapan operasi yang ada. Semua unit tidak kira Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ketua polis negeri, ketua polis daerah dan ketua balai memainkan peranan.
“Kita tidak akan jemu dan ada pasukan yang memantau secara khusus operasi yang dijalankan. Ini juga bukan serbuan bermusim tetapi ia akan diteruskan sehingga isu mesin judi selesai 100 peratus,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.
Khalid sebelum ini dilaporkan memberi tempoh seminggu kepada pegawainya untuk menyelesaikan isu mesin judi dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pegawai berkenaan ditukarkan dalam tempoh 24 jam.
Utusan Malaysia hari ini menimbulkan persoalan mampukah polis membanteras habis-habisan kegiatan haram itu memandangkan banyak premis perjudian tidak beroperasi sejak polis mempergiatkan serbuan.
Mohmad berkata, PDRM dalam tempoh empat hari iaitu dari 26 hingga 29 Oktober telah melakukan 3,665 serbuan ke atas premis judi haram dengan 3,015 mesin perjudian berkomputer dirampas manakala 364 orang ditangkap.
Beliau berkata, PDRM pada sembilan bulan pertama tahun ini telah meningkatkan kekerapan serbuan manakala jumlah tangkapan dan rampasan turut bertambah jika dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun lalu.
“Sebanyak 65,361 serbuan dan 26,121 tangkapan telah dilakukan pada Januari hingga September 2014 berbanding 57,399 dan 19,079 tangkapan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Sebanyak 51,551 serbuan dan 17,692 tangkapan adalah melibatkan pusat perjudian berkomputer dengan 129,868 mesin judi telah dirampas,” katanya.
Dalam pada itu, Mohmad berkata, sebanyak 1,719 kes telah dibawa ke mahkamah pada tahun ini sementara 4,440 kes masih dalam proses siasatan dan pertuduhan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hanya-20-30-peratus-serbuan-berhasil-1.18917#sthash.Px0BEgxc.dpuf
KOMEN : INILAH MASALAHNYA BILA ADA UNDANG2 BERLUBANG SANA SINI...TAKAN TUNGGU DIA BERNIAGA BARU BOLEH SERBU SEDANGKAN KITA DAH TAHU MEMANG KERJA MEREKA HARI2 BERJUDI... KE ADA TOYOL DAH PECAH LUBANG?
No comments:
Post a Comment