Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 17 October 2014

POLITIK : PPS haram - Ahmad Zahid


AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) merupakan sebuah pertubuhan haram kerana penubuhannya tidak dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PPS juga tidak termasuk dalam akta yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sebagaimana Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang terletak di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di bawah Akta Kesukarelawan 2012.

Dalam konteks itu, kata beliau, maka PPS bukan sebuah pertubuhan keselamatan memandangkan kuasa pertahanan keselamatan adalah hak Kerajaan Persekutuan.

"Kuasa Kerajaan Persekutuan adalah dalam soal keselamatan dan pertahanan, itu bukan kuasa kerajaan negeri tetapi PPS mahu bertindak sebagai sebuah badan atau pasukan keselamatan, saya ada bukti.

"Polis mengambil tindakan ke atas PPS kerana ada beberapa laporan polis dibuat contohnya rekod kesalahan lampau daripada 158 anggota yang ditahan, ada 11 laporan polis antaranya dipukul oleh anggota PPS, adakah PPS dibenarkan untuk memukul orang, menampar orang, menyembur dengan semburan pemedih mata, dan saya lihat banyak lagi laporan dibuat, itulah sebabnya Pendaftar Pertubuhan (ROS) isytihar bahawa pertubuhan itu tidak berdaftar ertinya PPS adalah pertubuhan haram," katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini.

Ahmad Zahid menjawab soalan tambahan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) yang ingin tahu mengapa PPS diiktiraf sebagai pertubuhan haram.

Pada 31 Ogos lepas, polis menahan 156 anggota PPS termasuk Pengerusinya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Sehari selepas itu, polis menahan Ahli DUN Seri Delima RSN Rayer manakala timbalan pasukan itu yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik.

Ahmad Zahid berkata, terdapat 296 kumpulan PPS di seluruh Pulau Pinang yang beroperasi di bawah 40 kawasan.

Jelas beliau, selepas lima tahun penubuhannya, keanggotaannya berjumlah 9,002 orang terdiri daripada 2,970 Melayu, 5,123 (Cina) dan 473 India dengan memperoleh sumber kewangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 setiap tahun di setiap kawasan DUN.

Menjawab soalan tambahan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) berhubung kewajaran penubuhan PPS biarpun kadar jenayah mencatatkan penurunan di Pulau Pinang, Ahmad Zahid berkata, situasi baik itu bukan disebabkan kewujudan PPS tetapi kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bantuan orang ramai.

Kata beliau, biarpun kerajaan menggalakkan usaha pelbagai pihak membantu menangani jenayah, tetapi segala peraturan dan undang-undang mesti dipatuhi dan bukannya mengikut apa yang dirasakan logik.

"Biarpun aktiviti PPS nampak baik dan digalakkan, namun dari 9,002 nama anggota yang sedang ditapispihak polis, kita akan lihat berapa ramai dalam kalangan mereka yang terlibat dengan kes jenayah termasuk dalam beberapa laporan yang diperoleh yang kita nyatakan termasuk menumbuk, menendang dan menampar orang.

"Ini bukan tugas pasukan yang kononnnya mahu membantu polis, sebenarnya mereka mahu mengambil alih kuasa polis dan pihak keselamatan, maka dalam soal inilah Kerajaan Persekutuan bertegas," katanya.

Menjawab soalan Mohamad Imran Abd. Hamid (PKR-Lumut) berhubung soal keselamatan negeri di bawah Ketua Menteri atau Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata, bidang tersebut adalah terletak di bawah kuasa Ketua Polis Negeri, Panglima Divisyen atau Panglima Briged dan bukannya hak seorang ketua negeri.

"Jadi jika ada mana-mana pihak kerajaan negeri mahu ambil alih kuasa yang dipunyai Kerajaan Persekutuan, maka ia di luar undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Wei Aik berhubung bilangan anggota Rela di Pulau Pinang, Ahmad Zahid berkata, anggota jabatan itu adalah berjumlah 229,766 orang setakat September lalu manakala pasukan SRS pula ialah sebanyak 227 pasukan dengan keanggotaan 9,080.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20141017/pa_01/PPS-haram---Ahmad-Zahid#ixzz3GMWqcV8c  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: