KRU pasukan Mercedes AMG Petronas melakukan latihan menukar tayar di Litar Autodrom di Sochi menjelang perlumbaan GP Rusia yang akan berlangsung Ahad ini. - AFP
LONDON - Formula Satu wajar memikirkan untuk memperkenalkan kokpit bertutup selepas Jules Bianchi kemalangan semasa Grand Prix Jepun, menurut seorang pemimpin pasukan Williams.
Pelumba dari Perancis itu, yang memandu untuk Marussia, sedang kritikal tetapi stabil di hospital kerana cedera teruk di kepala apabila keretanya melanggar kren sewaktu perlumbaan Ahad lalu yang dipendekkan kerana hujan.
Kokpit yang bertutup memberikan lebih ciri keselamatan terhadap kepala pemandu.
"Ini adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan," kata timbalan pengetua Williams, Claire Williams sewaktu ditemui di Persidangan Pemimpin-pemimpin Bisnes Sukan di London semalam.
"Jika dapat mempertingkatkan keselamatan maka patut dijadikan agenda dalam perbincangan. Kokpit bertutup secara teknikalnya bukan mudah untuk dipasang pada kereta Formula Satu dan sudah tentu mengubah rupa bentuk asal kereta.
"Kita perlu melihat semua pilihan yang ada, sama ada memerlukan kokpit bertutup atau tidak, tetapi perbincangan mengenainya perlu diadakan," tambah beliau.
Williams enggan mengulas jika kokpit bertutup nanti ditolak oleh F1 kerana bentuknya dijangka hodoh.
"Kita perlu mencari jalan untuk memastikan pemandu-pemandu kita dilindungi sebaik mungkin. Nilai estetika kereta Formula Satu - ya itu juga penting, itu adalah perkara pokok dan DNA kepada Formula Satu dan bagaimana bentuk kereta itu adalah penting - tetapi keselamatan seharusnya menjadi keutamaan," kata Williams.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh FIA selepas perlumbaan, Bianchi hilang kawalan ke atas keretanya, terbabas ke tepi litar dan merempuh belakang sebuah traktor kren yang sedang digunakan untuk mengalihkan kereta Sauber Adrian Sutil.
Bianchi tidak sedarkan diri apabila dia dibawa dari Litar Suzuka ke hospital.
Perlumbaan seterusnya adalah GP Rusia yang julung kali diadakan dan akan berlangsung Ahad ini di Sochi, sebuah kawasan peranginan di Laut Hitam yang menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20141010/sl_02/F1-diminta-guna-kokpit-bertutup#ixzz3G5u5Ce8t © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment