Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 13 October 2014

PIALA MALAYSIA : Kedah, Felda United cipta sejarah


Pemain Kedah, Khyril Muhymeen Zambri (kiri) dihadang dengan keras oleh seorang pemain Kelantan dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman Alor Setar malam tadi. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

KUALA LUMPUR - Kedah mengejutkan finalis Piala Malaysia musim lalu Kelantan dengan kemenangan 3-0 untuk menempah tempat ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2 sambil diiringi satu lagi pasukan Liga Perdana, Felda United yang menyingkirkan Selangor berbekalkan agregat 7-3 selepas seri 3-3 di Stadium Mini Temerloh malam tadi.

Kedah yang merupakan juara Piala Malaysia 2008, memulakan pertarungan sengit di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu dengan ketinggalan 3-1, namun asakan mereka sejak awal jelas membuktikan tiada istilah putus asa dalam diri para pemainnya.

Bagaimanapun, para penyokong mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-42 sebelum bersorak gembira Ahmad Hanif Md. Zahir menjaringkan gol pertama selepas menerima hantaran pemain dari England, Billy Mehmet.

Perlawanan semakin hangat sebaik babak kedua bermula. Kegagalan pertahanan The Red Warriors mengawal pergerakan Baddrol Bakhtiar mengundang padah apabila kapten pasukan Lang Merah itu berjaya menyusup ke kawasan penalti pelawat sebelum melakukan rembatan ke penjuru kiri untuk menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-53.

Kelantan terus tertekan setelah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Ahmad Fakri Saarani dilayangkan kad merah pada minit ke-72 dan kesempatan itu dimaanfaatkan sepenuhnya pasukan tuan rumah apabila meledak gol ketiga menerusi pemain gantian Mohd. Syafiq Ahmad pada minit-minit akhir permainan.

Kejayaan itu menyaksikan Kedah bakal bertemu sama ada PDRM atau juara Piala Malaysia 2013, Pahang yang akan beraksi di Stadium Shah Alam malam ini.

Di Stadium Mini Temerloh, Selangor yang kalah 4-0 dalam pertemuan pertama berusaha keras untuk mengubah nasib mereka dan kelihatan mampu melakukannya setelah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang sensasi dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-30 selepas menerima hantaran Muhammad Afiq Azmi.

Namun Felda United bangkit untuk menyamakan kedudukan 18 minit kemudian selepas Edward Junior Wilson merembat bola muntah hasil percubaan awal Makeche Ndumba.

Kegembiraan penyokong The Fighter tidak bertahan lama apabila Andik Vermansyah yang menerima hantaran Rangel berjaya menewaskan Mohd. Farizal Harun untuk Selangor kembali di depan.

Rangel sekali membuktikan dia antara penyerang berbisa apabila menghasilkan satu lagi gol pada minit ke-61 setelah menyudahkan hantaran Andik untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan kedudukan 3-1.

Bagaimanapun, hanya tujuh minit kemudian, Edward Junior Wilson merapatkan kedudukan sebelum pemain gantian berpengalaman, Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki enam minit untuk ditamatkan sekali gus meranapkan impian pasukan pelawat.

Gol itu nyata mengecewakan penyokong Selangor yang bertindak membaling kira-kira 10 butir suar ke belakang pintu gol Felda.

Keadaan bagaimanapun berjaya dikawal oleh pasukan keselamatan tidak lama kemudian.

Felda United bakal bertemu perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Terengganu yang akan bertemu di di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 16 Oktober ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141011/su_01/Kedah-Felda-United-cipta-sejarah#ixzz3G0BxN092  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: