Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 11 August 2014

Urus jenazah MH17 ke persemadian

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my

MOHD. Shafie Apdal (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jenazah Mangsa MH17 di Putrajaya, semalam. Turut sama Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) dan Ibrahim Muhamad (kiri). - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 8 Ogos - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menyelaraskan penghantaran jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke tempat pengebumian atau persemadian terakhir masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya akan menguruskan proses penghantaran itu ke beberapa kawasan yang telah dikenal pasti antaranya di Selangor, Putrajaya, Perak, Kedah, Sarawak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, semua mayat tersebut kemudian akan diberi penghormatan oleh pemimpin tempatan dan kerajaan negeri selepas tiba di kawasan pengebumian masing-masing.

"Kementerian ini akan membantu proses pengebumian di peringkat negeri misalnya di Sarawak, Kedah, Perak dan sebagainya dengan baik dan penuh penghormatan seperti yang dikehendaki oleh keluarga mereka.

"Sekiranya jenazah atau mayat terbabit hendak dihantar terus ke Kuching atau Miri, Sarawak selepas tiba di KLIA kita juga akan bertindak sebagai penyelaras bagi proses tersebut.

"Jika ada mayat bukan Islam yang anggota keluarganya inginkan upacara persendirian dan hendak ia dihantar terus ke Taman Peringatan Nirvana, sampai di KLIA kita akan laksanakan permintaan tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jenazah Mangsa MH17 di pejabatnya di sini hari ini.

Mesyuarat itu adalah susulan mesyuarat pertama Jawatankuasa Koordinasi Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad.

Bagaimanapun, kata Mohd Shafie, urusan berkenaan bergantung kepada permintaan keluarga ke mana jenazah tersebut ingin dibawa.

Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara (SAM) di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu dan mengorbankan 298 nyawa dengan 43 daripadanya merupakan penumpang serta anak kapal warga Malaysia.

Menurut Mohd Shafie lagi, pihaknya telah mengenalpasti pengangkutan yang akan digunakan bagi proses penghantaran tersebut dan bertolak sejurus jenazah tersebut tiba di tanah air.

Dalam masa sama, katanya, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan semua proses tersebut berjalan lancar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_07/Urus-jenazah-MH17-ke-persemadian#ixzz3A2QwDlx0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: