Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI dan ZAAIN ZIN
sukan@utusan.com.my
Penyerang JDT, Amri Yahyah meraikan jaringan ketiga pasukannya bersama Jorge Pereyra Diaz pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
KUALA LUMPUR - Johor Darul Ta'zim (JDT) memenuhi reputasi sebagai calon juara Piala Malaysia apabila hanya selangkah lagi untuk menghampiri suku akhir selepas membelasah Pulau Pinang 5-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan C.
JDT mampu menjadi pasukan pertama mengesahkan tiket ke suku akhir seandainya Kelantan berjaya menumpaskan ATM dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, malangnya dua gol pada 12 minit terakhir permainan membolehkan The Gladiators mengejutkan The Red Warriors 2-1.
Turun bersama reputasi selaku juara Liga Super, JDT tidak menunggu lama untuk membuka jaringan selepas serangan pantas mereka berjaya menghasilkan gol seawal minit kedua apabila Jorge Pereyra Diaz memperdaya penjaga gol, G. Jeevananthan.
Gol kedua tuan rumah hadir melalui sepakan penalti yang disempurnakan Luciano Figueroa pada minit ke-28 setelah Diaz dijatuhkan di kotak penalti.
Amri Yahyah menjadikan kedudukan 3-0 selepas menyempurnakan hantaran Diaz pada minit ke-37.
JDT terus mengganas sebaik saja babak kedua bersambung sekali lagi menerusi sepakan penalti apabila Figueroa dijatuhkan penjaga gol lawan.
Pemain import dari Argentina itu tiada masalah untuk menyempurnakan gol keempat tuan rumah pada minit ke-54 selepas tendangannya gagal ditampan kemas Jeevananthan.
Hariss Harun yang masuk menggantikan Figueroa pada minit ke-70 turut mencetak nama sebagai penjaring menerusi tandukan di minit ke-83 hasil hantaran Amri.
Sementara itu di Kota Bharu, The Gladiators menghukum kealpaan tuan rumah di penghujung permainan apabila mencipta dua jaringan menerusi tonggak import, Juan Arostegui pada minit ke-78 dan pemain veteran, Hairuddin Omar, empat minit sebelum tamat perlawanan.
Beraksi di atas permukaan padang yang basah, tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan menerusi Forkey Doe pada minit ke-43.
Begitupun kegagalan mempertahankan gawang ketika permainan hampir tamat menyebabkan Kelantan terpaksa akur mengalami kekalahan kedua dalam Kumpulan C.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140827/su_01/Harimau-Selatan-mengganas#ixzz3BYjF0abE © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment