MOHD. Raflis Mohd. Tahir dan Aqil Raif Mohd. Raflis (depan, kanan) mengaminkan doa semasa upacara pengebumian jenazah Azlina Yakob di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Hidayah, Tekkah, Asam Kumbang, Taiping, Perak, semalam. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin
TAIPING 22 Ogos - Ibu kepada pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17, Azrina Yakob, bersyukur kerana jenazah anak perempuannya dibawa pulang ke tanah air dalam keadaan sempurna dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Hidayah, Assam Kumbang dekat sini petang ini.
Habibah Ismail, 65, berkata, walaupun tidak dapat melihat wajah arwah anaknya itu, dia dimaklumkan oleh ahli keluarganya yang ke Amsterdam, Belanda untuk proses pengecaman, jenazah anaknya sempurna dan wajahnya dalam keadaan senyum.
Menurutnya, perkhabaran itu sedikit sebanyak mengubat rasa sedih terhadap insiden yang berlaku terhadap anaknya serta kru dan penumpang pesawat MH17.
"Saya bersyukur, lega kerana akhirnya setelah sekian lama menanti, akhirnya jenazah anak saya dapat dibawa balik ke tanah air hari ini dan disemadikan dengan sempurna.
"Saya amat bersyukur kerana ahli keluarga saya yang membuat proses pengecaman memberitahu jenazah anak saya seperti tersenyum.
"Alhamdulillah jenazahnya ditemui dalam keadaan sempurna. Saya berdoa semoga roh anak saya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian itu di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah Azrina yang diterbangkan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menggunakan pesawat EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Lapangan Terbang Tekah, Assam Kumbang dekat sini pada pukul 12.35 tengah hari.
Mengiringi jenazah di dalam helikopter dari KLIA ialah Habibah dan suaminya, Yacob Silam Sudin, 73, suami Azrina, Mohd. Raflis Mohd. Tahir, 43, dan kedua-dua anak Allahyarham, Aqil Raif, 6, dan Arissa Raisha, 3.
Jenazah kemudiannya dibawa menggunakan van jenazah ke Masjid Al Hidayah Assam Kumbang terletak kira-kira 100 meter dari kawasan pendaratan helikopter.
Ketibaan jenazah disambut oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, ahli keluarga Allahyarham serta kira-kira 2,000 penduduk setempat yang hadir sejak pukul 10 pagi.
Jenazah kemudian disembahyangkan di masjid berkenaan selepas solat Jumaat dengan diimamkan oleh Iman 1 Masjid Al Hidayah, Mohd. Abdullah Hashim pada pukul 2.20 petang.
Selepas itu, keranda jenazah yang dibalut bendera Jalur Gemilang, diusung ke tanah perkuburan oleh anggota Batalion Ke-9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) Taiping dan selamat dikebumikan pada pukul 3.35 petang.
Azrina, 41, berasal dari Kampung Kalumpang, Alor Mengkudu, Alor Star, Kedah.
Habibah berkata, dia dan suaminya akan terus berada di sini selepas selesai majlis tahlil untuk arwah anaknya sebelum kembali ke kampung mereka di Alor Star.
"Penantian saya yang terlalu lama menunggu kepulangan jenazah anak saya sudah berakhir hari ini. Alhamdulillah dia dapat dikebumikan di tanah air walaupun bukan di tempat lahirnya. Namun di sini (Taiping), ada suami dan anak-anak yang boleh menziarahi pusaranya," katanya.
Sementara itu, Mohd. Raflis yang menetap di Taman Kaya, dekat sini dan bekerja di sebuah bank terkemuka di Ipoh ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana jenazah isterinya disemadikan dengan sempurna.
"Tumpuan saya sekarang adalah untuk membesarkan anak-anak," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_20/Ibu-dapat-tahu-jenazah-anak-sempurna-selamat-dikebumi-di-tanah-air#ixzz3BN5j06hS © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment