Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 25 August 2014

Perkabungan, Jalur Gemilang, Melayu


Oleh Hassan Mohd. Noor

JANGAN MENGGURIS PERASAAN

HARI Perkabungan Negara berjalan lancar dan berlangsung dengan baik. Inilah kali pertama hari perkabungan melibatkan orang awam. Sudah tentu banyak cabaran yang dihadapi dalam memastikan hari bersejarah itu akan diingati bukan sahaja oleh keluarga mangsa MH17 tetapi juga rakyat seluruhnya. Hari perkabungan ini memanglah sesuatu yang luar biasa kerana ia melibatkan orang awam. Usahlah dipertikaikan apa yang sudah berlaku. Macam-macam isu dibangkitkan sama ada soal warna pakaian dan acara yang disusun sebagai tanda penghormatan. Acara yang berlangsung mungkin tidak diminta oleh keluarga mangsa tetapi hakikatnya, kerajaan mahu memastikan semua mangsa diberi penghormatan. Mereka bukannya anggota pasukan keselamatan yang gugur di medan perang. Mereka hanyalah penumpang dan petugas di dalam pesawat komersial, bukannya pesawat tentera.

Mereka menjadi mangsa akibat konflik yang berlaku di negara orang. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka mangsa pembunuhan beramai-ramai. Malangnya ada pihak yang cuba mengadu-domba masyarakat dengan menuduh kerajaan mempunyai agenda tertentu dan mengaitkannya pula dengan penghormatan terhadap perwira Lahad Datu. Tidak perlulah kita bercakap perkara yang bukan-bukan sehingga menjurus kepada penyebaran fitnah walaupun ia bertujuan meraih simpati orang ramai dan pihak tertentu.

Hotrmatilah keluarga mangsa serangan terhadap MH17. Inilah salah satu sikap orang kita yang suka mencari kekurangan dan kelebihan dalam satu-satu perkara, seolah-olah 'tidak ada kerja'. Lebih mendukacitakan apabila ada yang menyifatkan anggota tentera terlibat dalam istiadat penghormatan Jumaat lepas seperti hamba abdi. Dalam hal ini Selak tertarik dengan kenyataan Lans Koperal Mohd Sadiq Zakariah semalam yang mengawal diri menahan sebak ketika mengusung jenazah bapa saudara pupunya, penyelia penerbangan kabin, Mohd Ghafar Abu Bakar kerana tidak mahu 'mencacatkan' perjalanan istiadat penghormatan jenazah.

Beliau begitu cekal mengingatkan diri bahawa kegagalan menahan diri akan menghilangkan kepercayaan kepadanya, memandangkan beliau sendiri membuat permohonan supaya dibenarkan untuk mengusung arwah. Anggota tentera daripada Unit Istiadat 1 Regimen Askar Melayu Diraja itu berkata ia juga merupakan jasa terakhir yang boleh disumbangkan kepada keluarga arwah.

Sehari sebelum itu, beliau mengakui begitu sedih ketika mengusung jenazah orang yang tidak dikenalinya, iaitu keranda Foo Ming Lee. Begitulah perasaan sedih seorang anggota tentera yang terlibat dalam urusan pada Hari Perkabungan Negara. Hentikanlah berkata sesuka hati kononnya untuk menegakkan kebenaran sedangkan hakikatnya, ia lebih banyak mengguris perasaan banyak pihak. Ingatlah jika anda berada dalam kedudukan keluarga mangsa. Apakah perasaan anda jika mangsa tragedi itu adalah suami, isteri, ibu, bapa, anak, cucu, adik, abang, kakak, nenek, saudara mara, sahabat atau sesiapa sahaja yang mempunyai pertalian rapat dengan anda.

SEKAKI PAYUNG PERCUMA

KETIKA ini, kita memasuki minggu terakhir menjelang 31 Ogos 2014, menandakan genap 57 tahun negara mencapai kemerdekaan. Sudahkah anda sekurang-kurangnya mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah atau di mana sahaja? Mungkin kibaran bendera itu tidak semeriah hebatnya bendera parti politik menjelang pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK). Jika pada PRU atau PRK, kita dapat melihat bendera parti politik berkibar megah sehingga di puncak bukit atau di pucuk pokok tetapi kibaran Jalur Gemilang mungkin tidak sehebat itu.

Walaupun tidak sehebat semasa pilihan raya, sekurang-kurangnya masih ada yang bersedia mengibarkan Jalur Gemilang. Ada juga yang memperkecilkan Jalur Gemilang ini dengan nama yang memalukan. Ada juga Jalur Gemilang yang dimamah usia, koyak rabak dan lusuh. Adakah tidak mampu untuk membeli?

Berapa banyak syarikat yang menyumbang bendera secara percuma? Dalam hal ini, saya tertarik dengan kempen pembelian petrol anjuran Petronas. Setiap petrol yang disi bernilai RM20 akan mendapat cop di dalam satu kad penyertaan. Kad yang lengkap dengan 10 cop (bermakna RM200) akan mendapat sekaki payung yang boleh ditukar di mana-mana Kedai Mesra.

Malangnya banyak rungutan yang didengar. Sejak awal lagi, saya sudah menduga perkara ini akan berlaku. Tempoh pengumpulan cop bermula pada 20 Julai hingga 15 September manakala penebusan sehingga 30 September 2014 atau stok masih ada. Apabila 'diikat' sehingga stok masih ada, maka pihak berkenaan boleh menghentikan tawaran itu pada bila-bila masa. Rungutan yang diterima, setiap kali mahu ditukar, petugas akan berkata, stok sudah habis, esok pagi ada; pagi tadi sampai tapi sekarang sudah habis; boleh tukar di mana-mana stesen dan macam-macam lagi. Ada juga yang memberitahu, seorang petugas melekatkan ayat ini di bajunya: Jangan tanya saya pasal payung, stress.Ada rakan memberitahu, beliau sudah lengkap 10 kad tetapi sekaki payung pun tidak dapat. Mungkinkah jumlah payung terhad disebabkan kos tinggi. Ada juga yang berkata, tawaran itu hanyalah gimik. Sepatutnya stok sentiasa ada, mengikut jumlah kad. Jika satu juta kad dikeluarkan, biarlah satu juta kaki payung tersedia. Biarlah setiap pemilik kad yang lengkap memperolehnya.

Sebenarnya, bukanlah pengguna kemaruk dengan payung tetapi apabila barang percuma di depan mata, ambil sajalah. Jika tidak ada tawaran itu pun, pengguna tetap mengisi petrol. Eloklah sebagai menghargai setiap pelanggan yang setia, Petronas menyediakan `hadiah' yang benar-benar mencukupi. Mungkin sediakan Jalur Gemilang yang kosnya lebih murah supaya setiap pelanggan memperolehnya. Seperkara lagi, cuba selak balik apakah ganjaran yang diberikan oleh syarikat yang menjual petrol jenama lain. Amat malang, khidmat mesra bertukar tidak mesra hanya kerana sekaki payung, lebih-lebih lagi pada hari hujan.

BANGSA YANG MENUMPANG

SEMALAM, berlangsung lagi beberapa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara. Salah satu ucapan yang menarik perhatian ialah yang disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Hasan. Dalam ucapannya di Paroi, Menteri Besar itu berkata, perjuangan UMNO yang dibanggakan selama ini akan menemui noktah menyedihkan sekiranya kuasa politik Melayu lenyap dalam PRU akan datang. Beliau menjelaskan, krisis perpecahan Melayu yang hanya disebabkan perbezaan ideologi politik bukan sahaja merugikan bangsa sendiri bahkan dijadikan sebagai 'peluru' besar yang menguntungkan musuh politik. Kebimbangan itu kata beliau, mempunyai asas kerana pelbagai usaha sedang dilakukan oleh pakatan pembangkang menerusi fitnah, tohmahan dan paling dibimbanginya usaha memasukkan Singapura ke dalam negara ini.

Berhubung perkara yang sama, Selak tertarik dengan petikan kata-kata oleh Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohammad. Tidak pasti sama ada itu kata-kata itu benar atau sebaliknya. Begini bunyinya: Kalau bangsa Melayu tidak menyedari hakikat perjuangan, dalam masa yang tidak lama lagi, bangsa Melayu akan tenggelam dalam gelombang bangsa yang menumpang. Terserah kepada orang Melayu untuk membuat penilaian. Bukanlah tujuan untuk membangkitkan sesuatu yang dianggap rasis tetapi sekadar untuk mengingatkan tentang sesuatu yang harus diperjuangkan oleh orang Melayu demi agama, bangsa dan tanah air.

Selak juga ingin berkongsi lagu Tanah Melayu Tanah Airku, lagu lama yang muncul dalam facebook. Walaupun Tanah Melayu sudah hilang, tetapi mengambil semangat merdeka ini, elok diturunkan antara bait-bait lagu itu iaitu Aduhai bangsa Melayu, bangunlah kawan-kawanku, marilah bersama-sama, kita bela Tanah Melayu, aduhai bangsa Melayu, bangunlah kawan-kawan ku. marilah bersama-sama kita bela Tanah Melayu, lautnya biru terhampar, pasirnya putih memanjang, Semenajnung Tanah Melayu, memang indah dipandang, siapa yang tak kasih sayang, siapa yang tak rindu dendam, Semenanjung Tanah Melayu, tanah tumpah darahku, itulah kawan-kawanku, marilah kita bersatu. berkerja, sama berdoa, agar Tanah Melayu jaya.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-57.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140825/re_03/Perkabungan-Jalur-Gemilang-Melayu#ixzz3BNnMCqE0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: