Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 25 August 2014

MH17 : Seluruh negara bersedih


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah diiringi Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta jemaah lainnya mengaminkan doa imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad selepas menunaikan solat jenazah hadir dan ghaib mangsa nahas MH17 di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Perasaan sedih dan simpati menyelubungi rakyat Malaysia hari ini ketika upacara bertafakur seminit sebagai penghormatan kepada jenazah serta jasad mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Dalam suasana hening, tempoh seminit itu digunakan oleh seluruh rakyat untuk bersama-sama berdoa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing sebaik sahaja pengumuman mengenainya dibuat menerusi stesen radio serta televisyen tempatan tepat pada pukul 10.54 pagi.

Detik masa seakan terhenti pada waktu itu apabila orang ramai dengan rela hati menghentikan seketika urusan masing-masing selepas kumpulan pertama 20 jenazah yang tiba dari Amsterdam, Belanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selesai diletakkan ke dalam kenderaan jenazah.

Malah ada dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang yang bersatu hati menempuh saat sukar berkenaan tidak mampu menahan perasaan sebak sehingga menitiskan air mata mengenangkan nasib mangsa tragedi MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Beberapa lebuh raya utama di ibu negara termasuk Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas), Lebuh Raya Besraya, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint dan Lebuh Raya Baru Pantai menutup lorong masing-masing selama seminit sebagai tanda memberi penghormatan kepada mangsa.

Operasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel di Lembah Klang juga dihentikan seminit dengan keadaan serupa dapat dilihat di beberapa lokasi di seluruh negara apabila kereta serta bas berhenti seketika untuk bersama-sama menyertai detik sedih yang belum pernah dilakukan di negara ini.

Terdahulu, pesawat MAS MH6129 membawa jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 tiba di pekarangan Kompleks Bunga Raya, KLIA tepat pukul 9.54 pagi untuk diberi penghormatan negara menerusi istiadat ketenteraan dengan diIsaksikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, anggota Kabinet, ahli Parlimen serta diplomat asing untuk menyertai para waris mangsa.

Sementara itu, kira-kira 3,000 orang daripada pelbagai kaum berdiri beriringan di Dataran Merdeka di sini untuk menghayati detik-detik bersejarah itu.

Hari ini yang diisytiharkan sebagai Hari Perkabungan Negara menyaksikan Jalur Gemilang dikibar separuh tiang dan ramai rakyat berpakaian gelap selain bertafakur seminit melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.

Dalam pada itu, upacara bertafakur seminit diadakan di pelbagai lokasi di negeri-negeri.

Di GEORGETOWN, pergerakan kenderaan dari tanah besar menghala ke pulau dihentikan selama seminit di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang untuk bertafakur memperingati mangsa tragedi MH17.

Keadaan sama dapat dilihat di Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah apabila semua kenderaan berhenti di Plaza Tol Batu Maung manakala di terminal feri, ratusan penumpang Feri Pulau Rimau dan Pulau Undan di kedua-dua arah tanah besar serta George Town turut bertafakur selama seminit.

Di KUALA TERENGGANU, upacara bertafakur selama seminit sempena istiadat penghormatan ketibaan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 turut diadakan pada majlis pelancaran program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pendidikan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

Di IPOH, kira-kira 500 warga Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) terdiri daripada guru, pelajar dan kakitangannya bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia bertafakur bagi menzahirkan kesedihan terhadap insiden menimpa mangsa pesawat MH17.

Di MELAKA, kira-kira 500 orang berkumpul di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mangsa tragedi MH17 yang diterbangkan pulang ke tanah air selepas 37 hari nahas menyayat hati itu berlaku.

Di KUANTAN, upacara bertafakur yang berlangsung di Dataran Setia, Wisma Pahang dihadiri kira-kira 3,000 kakitangan awam dan disertai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Di KEDAH, para peniaga di Pasar Besar Alor Setar turut berkongsi kesedihan dengan bertafakur selama seminit dan menghentikan aktiviti perniagaan seketika bagi menghormati 20 jenazah kumpulan pertama mangsa nahas pesawat tersebut yang dibawa pulang dari Amsterdam hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140823/dn_01/Seluruh-negara-bersedih#ixzz3BMWeAs6U  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: