Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 29 August 2014

Indeks Syariah diguna pakai

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak dan Jamil Khir Baharom (enam dari kiri) bergambar kenangan dengan Ahli Jawatankuasa Majlis Perhimpunan Ulama dan Umara serta penyampaian Anugerah Masjid Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 28 Ogos - Indeks Syariah untuk mengukur dan menilai pencapaian Malaysia dalam melaksanakan tuntutan syarak melalui maqasid syariah bakal diguna pakai di negara ini bermula Januari 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, penyelidikan Indeks Syariah yang komprehensif itu sedang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim).

Beliau yang menyifatkan program itu amat dekat di hatinya menjelaskan, indeks tersebut mengukur tahap keseriusan usa-ha Malaysia dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor.

"Banyak sangat polemik berhubung ada yang kata Malaysia merupakan negara Islam dan ada pula sebaliknya. Oleh itu, perlu ada ukuran secara saintifik berhubung keperluan tersebut.

"Menerusi indeks ini, kita boleh buat ukuran dan negara boleh buat perbandingan. Kalau ada yang sudah berjaya, Alhamdulillah, kalau masih ada kekurangan lagi, kita sama-sama perbaiki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perdana Ulama-Umara dan Anugerah Masjid Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapa dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Albakri.

Sementara itu, Masjid As-Salam, Puchong Perdana, Selangor dinobatkan Juara Masjid Kariah 2014 manakala Masjid Sultan Yahya Petra, Machang dinobatkan sebagai Johan Masjid Daerah 2014 dalam majlis tersebut.

Nazir Masjid As-Salam, Yasim Mohamed berkata, penganjuran program yang melibatkan pelbagai anggota masyarakat termasuk yang bukan beragama Islam merupakan antara faktor kejayaan masjid itu.

Katanya, usaha itu berjaya menggarap nilai dakwah dalam kalangan ahli kariah bahawa masjid merupakan tempat penyatuan masyarakat walaupun mereka berbeza kepercayaan.

"Program pengimarahan tersebut menyebabkan Masjid As-Salam mendapat tempat di hati masyarakat bukan sahaja sebagai tempat menunaikan ibadah tetapi tumpuan aktiviti kebajikan dan ekonomi. Malah program sumbangan yang pernah kita anjurkan juga disalurkan kepada para penduduk yang bukan beragama Islam," katanya.

Dalam pada itu, Imam Tua Masjid Sultan Yahya Petra, Abd. Razak Husein menyifatkan kemenangan itu adalah hasil semangat kesatuan dalam kalangan ahli jawatankuasa bagi mengimarahkan rumah ibadah itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140829/dn_03/Indeks-Syariah-diguna-pakai#ixzz3Bjb7fd00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: