Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 20 August 2014

HASUTAN : Surendran mengaku tak salah

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

N. Surendran

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerbitkan satu artikel berbaur hasutan berhubung penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, empat bulan lalu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

"Tuduhan tidak berasas dan bermotifkan politik, saya mengaku tidak bersalah," ujar Surendran, 48.

Di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, dia kini berdepan dengan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Mengikut pertuduhan, Surendran didakwa menerbitkan artikel bertajuk Press Release: Court of Appeal's Fitnah 2, Written Judgement is Flawed, Defensive and Insupportable di pejabat Malaysiakini.com, No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama, Brickfields di sini kira-kira pukul 3.40 petang, 18 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir yang mengendalikan pendakwaan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika tertuduh disabitkan kesalahan pertama dan bagi kesalahan kemudian, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

Pada prosiding tersebut, Syed Faisal mencadangkan Surendran diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin namun peguam, M. Puravelan dan Latheefa Koya yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes.

Surendran yang merupakan antara barisan peguam yang mewakili Anwar dalam kes tersebut, melalui kenyataan akhbar itu mempertikaikan penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan bertarikh 11 April lalu setelah panel tiga hakim mahkamah berkenaan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Penasihat PKR itu atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Turut hadir semasa prosiding ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan aktivis pembangkang, Datuk S. Ambiga.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140820/ma_01/Surendran-mengaku-tak-salah#ixzz3AtracijW  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: