Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 19 August 2014

POLITIK : Isu SJKC dan hina Islam jadi tumpuan


Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) bersama Mohd. Zainal Abidin Rafique (dua dari kiri) beramah mesra dengan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Mohd. Feisol Mohammad Hasan (dua dari kanan) pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang, di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Isu mengenai sistem sekolah satu aliran serta penggunaan media sosial untuk menghina agama lain mendapat perhatian ahli UMNO apabila terus dibangkitkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian yang berlangsung hari ini.

Di JOHOR, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Muar menegaskan, UMNO tidak rasis hanya kerana membangkitkan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu tidak perlu dibina dan menyifatkan tuduhan itu berniat jahat serta cubaan mengalih perhatian daripada isu pokok.

Sambil membidas tuduhan itu, katanya, isu sebenar ialah berkenaan perpaduan yang gagal dipupuk dan kira-kira 1,200 SJKC sedia ada dilihat sudah cukup mengikut kuota ditetapkan.

"Kita kena ada sasaran (jumlah SJKC). Kita perlu tahu sekolah mesti jadi tempat permulaan perpaduan. Kalau dari kecil sudah dipisahkan (apabila besar mereka) akan terus terpisah dan ada yang tidak fasih berbahasa Melayu.

"Kalau kita ikhlas nak bersatu padu dan maju bersama ini perlu dilakukan. Kalau tidak cukup SJKC dan minta lagi, sampai bila masalah (perpaduan) tidak selesai," katanya dalam mesyuarat yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota, Muar.

Di PULAU PINANG, Ketua Wanita UMNO negeri, Norliza Abdul Rahim pula berkata, sistem sekolah satu aliran yang pernah dicadangkan sebelum ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas dan tidak disempitkan dengan persepsi sebagai percubaan 'membunuh' sistem pendidikan vernakular.

Menurutnya, sistem sekolah satu aliran sebenarnya merupakan asas penting kepada penyatuan nasional yang harus bermula pada peringkat kanak-kanak lagi.

"Sekiranya sistem sekolah satu aliran dilaksanakan tidak bermaksud bahasa Mandarin dan Tamil akan pupus di negara ini, tetapi tetap boleh diajar dan diseragamkan mengikut kesesuaian.

"Dalam masa sama akan mewujudkan sikap saling menghormati dalam kalangan murid terhadap kepelbagaian bahasa yang wujud di negara ini," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

Dalam pada itu, isu pendakwaan terpilih yang berlaku dengan majoriti 'mangsanya' merupakan orang Melayu menjadi topik panas dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam hari ini.

Pengerusi Biro Hal-Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika merasmikan mesyuarat berkenaan secara terbuka mengkritik pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal itu tetapi gagal melaksana tugas mereka sehingga mewujudkan keadaan demikian.

"Kita dapat lihat pendakwaan terpilih berleluasa dan pihak Pemuda UMNO, saya berasa tersentuh hati apabila beberapa ahli Pemuda di negeri ini sudah didakwa di mahkamah baru-baru ini kerana menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan orang yang memulakannya masih bebas," katanya.

Nazir Hussin kecewa apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memberi alasan tidak munasabah setiap kali isu pendakwaan terpilih dibangkitkan.

"Dalam kes Namewee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Delima, R.S.N. Rayer dan seorang lelaki menendang remaja yang tersebar dalam laman sosial, terdapat beratus-ratus laporan polis dibuat di seluruh negara tetapi tiada tindakan. Dalam kes Namewee misalnya, bukti video klip jelas menunjukkan perbuatan menghina agama Islam apabila mempersendakan azan tetapi tiada tindakan susulan. Adakah pihak berkuasa terlalu lemah sehingga gagal mengesan beliau?" katanya.

Nizar Hussin turut mendedahkan, siasatan pihaknya mendapati terdapat 17 kes berkaitan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan perkauman menerusi media sosial diabaikan.

Di KEDAH, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menggesa orang Melayu supaya bersatu bermula daripada sekarang jika mahu kekal berkuasa dan dihormati oleh kaum lain di negara ini.

Katanya, penghinaan terhadap agama Islam, orang Melayu dan institusi raja yang semakin menjadi-jadi di laman sosial sekarang disebabkan orang Melayu berpecah.

"Dulu kita kuat dan orang lain tidak berani menggugat kita, namun sekarang kerana kita berpecah kita senang dirobohkan dan dihina.

"Orang lain melihat Melayu sebagai kaum yang lemah disebabkan kita berpecah-belah walaupun kita adalah majoriti. Perpecahan membuatkan kita menjadi seperti kaum minoriti di negara ini,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sik di Dewan Institut Kemahiran Mara di situ.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140817/po_12/Isu-SJKC-dan-hina-Islam-jadi-tumpuan#ixzz3AnkK9mI4  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: